Mahkamah Tinggi Shah Alam tolak permohonan Bank Of China jual hartanah Tan Sri Lee Kim Yew | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Tinggi Shah Alam tolak permohonan Bank Of China jual hartanah Tan Sri Lee Kim Yew

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Bank of China (Malaysia) Bhd bagi perintah penyitaan hartanah kediaman utama di Seri Kembangan, Selangor sekali gus memberikan kemenangan kepada ahli perniagaan, Tan Sri Lee Kim Yew.

 

Pada masa sama, mahkamah turut memerintahkan bank itu membayar kos sebanyak RM5,000.

 

Hartanah tersebut terletak di Pekan Baru Seri Kembangan, Daerah Petaling, dan berkeluasan kira-kira 1,659.8 meter persegi (17,865.94 kaki persegi) dan berada di kedudukan strategik selain dianggap sebagai aset yang sangat bernilai.

 

Mahkamah memihak kepada Kim Yew selepas beliau berjaya menunjukkan "sebab munasabah" yang membawa kepada penolakan permintaan bank itu. 

 

"Keputusan ini merupakan sesuatu yang penting untuk Kim Yew yang secara aktif mencabar apa yang disifatkannya sebagai tindakan yang tidak wajar oleh Bank of China," katanya dalam satu kenyataan.

 

Bank of China sebelum ini telah melelong beberapa hartanah ahli perniagaan itu pada nilai yang boleh dipersoalkan, walaupun jumlah pinjaman tertunggak agak kecil.

 

Menurut laporan sebuah akhbar Cina tahun lalu, hartanah Cameron Highlands miliknya telah dilelong dengan harga lebih RM60 juta, walaupun jumlah yang terhutang kepada bank itu kurang daripada angka itu.

 

Kes itu telah menimbulkan kebimbangan serius mengenai pendekatan rampasan bank dan potensi penilaian rendah aset dalam prosiding tersebut.

 

"Keputusan hari ini juga menekankan kepentingan proses wajar dan ketelusan dalam pertikaian kewangan, terutamanya dalam kes yang melibatkan aset bernilai tinggi. 

 

"Kim Yew kekal komited untuk menegakkan hak undang-undangnya dan memastikan institusi kewangan mematuhi prosedur undang-undang yang adil dan saksama dalam tindakan mereka," katanya.

 

Tetuan Adrian & Co, yang mewakili ahli perniagaan itu mengesahkan, Bank of China telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi itu.- DagangNews.com