Mahkamah Tinggi benarkan TNB kuatkuasakan award timbang tara RM73.41 juta terhadap Sinohydro | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Tinggi benarkan TNB kuatkuasakan award timbang tara RM73.41 juta terhadap Sinohydro

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 14 NovTenaga Nasional Bhd atau TNB hari ini berjaya memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasakan award timbang tara berjumlah RM73.41 juta terhadap Sinohydro Corp Ltd dari China dan unitnya di Malaysia, Sinohydro Corp (M) Sdn Bhd, susulan kegagalan prestasi dalam projek loji janakuasa di Selangor.

 

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Rajesh Raghavi, yang memutuskan permohonan kedua-dua syarikat Sinohydro untuk mengetepikan award tersebut tidak berasas dan “sekadar cuba mengemukakan rayuan terselindung terhadap dapatan tribunal”.

 

Menurutnya dalam keputusan bertulis, cabaran tersebut tidak melepasi ambang undang-undang yang ketat untuk mengetepikan award timbang tara, kerana ia pada asasnya mempertikaikan penemuan fakta yang telah diputuskan oleh tribunal.

 

Pertikaian tersebut berpunca daripada pembinaan loji janakuasa di Connaught Bridge, yang didakwa gagal memenuhi penanda aras prestasi ‘guaranteed net heat rate’, iaitu ukuran kecekapan operasi loji yang ditetapkan secara kontrak.

 

TNB memulakan prosiding timbang tara pada 3 Mac 2021, manakala Sinohydro mengemukakan tuntutannya pada 9 April 2021. 

 

Tribunal di bawah Asian International Arbitration Centre (AIAC) mengeluarkan award muktamad pada 28 Mac tahun lalu, mengarahkan Sinohydro membayar RM73.41 juta kepada TNB, selain RM1.52 juta bagi kos disbursement serta RM875,000 sebagai yuran guaman.

 

Susulan itu, TNB memohon untuk menguatkuasakan award tersebut di bawah Seksyen 38(1) Akta Timbang Tara 2005, manakala Sinohydro memfailkan permohonan untuk mengetepikannya. 

 

Kedua-duanya didengar pada 18 Sept.

 

 

 

 

 

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua syarikat Sinohydro membayar RM35,000 sebagai kos berhubung permohonan mengetepikan yang gagal, serta RM5,000 lagi akibat kegagalan permohonan mereka untuk menangguhkan penguatkuasaan award berkenaan.

 

TNB diwakili peguam Sanjay Mohan, Adam Lee dan Hadiputera Mohd Dzulrila dari firma Messrs Sanjay Mohan. Sinohydro pula diwakili Chan Sock Mun, Teo Lee Hoon dan Toh An Ni dari Messrs Cherie Chan & Co. - DagangNews.com