KUALA LUMPUR 26 Ogos - Mahkamah Tinggi memutuskan bank mempunyai kewajipan untuk berhati-hati dalam pemindahan wang pelanggan, walaupun pelanggan memberikan nombor akaun salah, kerana bank sepatutnya mempunyai mekanisma untuk memastikan nama penerima dan nombor akaun yang dimasukkan adalah betul.
Dalam kes ini, walaupun pelanggan gagal memberikan nombor akaun yang tepat, pelanggan telah memasukkan nama penerima yang betul dalam maklumat transaksi dalam talian.
Namun, pihak bank tetap meneruskan pemindahan pada 2022, menyebabkan pelanggan gagal mendapatkan semula sebahagian besar wang berkenaan.
Berikutan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Moh Kok Wai mengarahkan Alliance Bank Malaysia Bhd dan anak syarikatnya, Alliance Islamic Bank Bhd, membayar RM1.163 juta kepada syarikat alat ganti kenderaan, Yatt Fatt Auto Supplies Sdn Bhd.
Pesuruhjaya Kehakiman itu turut mengarahkan faedah pada kadar 5% setahun dikenakan mulai tarikh penghakiman pada Rabu sehingga pembayaran ganti rugi direalisasikan sepenuhnya dan turut mengarahkan kedua-dua defendan membayar kos RM50,000 kepada Yatt Fatt Auto.
“Pengajaran utama daripada kes ini bukanlah bank mesti menjamin pelanggan mereka daripada setiap kesilapan manusia. Ia adalah satu prinsip yang lebih sederhana tetapi penting.
“Sesebuah bank yang memilih untuk mewajibkan maklumat tertentu sebagai sebahagian daripada sistem pembayaran perlu mengambil langkah berhati-hati yang munasabah bagi memastikan maklumat yang diminta itu mempunyai fungsi yang bermakna," katanya dalam keputusan lisan.
Moh Kok Wai menambah automasi mungkin menggantikan kerja tangan manusia, tetapi ia tidak menggantikan undang-undang yang menuntut tahap kewajipan berhati-hati yang munasabah.
“Saya juga mendapati bahawa defendan gagal melaksanakan tahap berhati-hati dan kemahiran yang munasabah seperti yang dijangka daripada seorang jurubank yang berhemah, dan pelanggaran tersebut telah menyumbang secara material kepada kerugian plaintif,” katanya lapor The Edge.
Tiga Transaksi Pemindahan Gagal Diterima Penerima Sah
Kes itu timbul selepas Yatt Fatt Auto membuat tiga transaksi berjumlah RM1.23 juta kepada Perodua Sales Sdn Bhd pada Mei 2022 melalui sistem perbankan dalam talian BizSmart.
Transaksi berkenaan membabitkan RM400,000 pada 24 Mei 2022, RM400,000 pada 27 Mei 2022 dan RM433,224.53 pada 30 Mei 2022.
Bagaimanapun, Perodua kemudiannya memaklumkan bahawa ia tidak menerima wang tersebut.
Siasatan selepas itu mendapati wang berkenaan telah dipindahkan ke akaun Maybank milik Banarsi Das Trade, sebuah entiti yang menurut Yatt Fatt Auto tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengannya.
Dalam kes itu, nama penerima yang dimasukkan pelanggan adalah betul, namun nombor akaun yang diberikan adalah salah.
Dua Pengenalan Diperlukan, Tetapi Tidak Disemak
Dalam mencapai keputusan tersebut, Moh Kok Wai berkata, bukti menunjukkan platform teknologi maklumat bank yang dikenali sebagai BizSmart memerlukan kedua-dua nama penerima dan nombor akaun sebagai maklumat wajib.
Namun, berdasarkan keterangan saksi pihak bank, beliau berkata, sistem itu tidak dapat menentukan sama ada nombor akaun yang dimasukkan adalah betul atau salah, sebaliknya akan memproses pembayaran berdasarkan maklumat yang diberikan.
“Itulah masalahnya,” katanya.
“Defendan memerlukan dua maklumat pengenalan, tetapi sistem mereka tidak membandingkan kedua-duanya. Ia tidak mempunyai sebarang mekanisme untuk memberi amaran kepada pelanggan apabila kedua-dua maklumat itu merujuk kepada penerima yang berbeza. Oleh itu, sistem tersebut memerlukan maklumat yang, dari segi operasi, sebenarnya tidak digunakan.
“Ini bukan bermaksud untuk mengenakan kewajipan kepada bank supaya menyiasat setiap pembayaran elektronik secara manual atau menuntut kesempurnaan teknologi. Persoalannya lebih khusus, iaitu sama ada seorang jurubank yang munasabah dan berhemah, setelah dengan sengaja mewajibkan dua maklumat pengenalan penerima, sepatutnya melengkapkan sistemnya dengan sekurang-kurangnya satu perlindungan asas yang mampu mengenal pasti percanggahan yang jelas antara kedua-dua maklumat tersebut.
“Pada penghakiman saya, jawapannya jelas adalah ya. Keterangan defendan sendiri mengenai amalan perbankan konvensional mengukuhkan kesimpulan itu. Mereka mengakui bahawa percanggahan yang jelas dalam butiran pembayaran lazimnya menjadi alasan untuk menghentikan transaksi dan mendapatkan penjelasan.
“Hakikat bahawa transaksi itu dilakukan secara digital tidak boleh, pada penghakiman saya, menjadi alasan untuk mengenakan tahap kewajipan berhati-hati yang lebih rendah terhadap bank,” tambahnya.
ID Pengguna, Kata Laluan Yang Sah
Sementara itu bank dalam pembelaannya berkata, transaksi berkenaan telah diluluskan dan dibenarkan oleh pihak yang mempunyai kuasa dalam syarikat plaintif berdasarkan penggunaan ID pengguna dan kata laluan yang sah.
Bank berkata, plaintif berjaya mengakses sistem menggunakan nama pengguna dan kata laluan yang betul untuk melaksanakan transaksi berkenaan.
“Tiada sebarang kecacatan atau ketidaknormalan pada sistem BizSmart dan tiada tanda-tanda bahawa sistem itu telah dikompromi. Defendan juga telah mengambil langkah untuk mendapatkan semula wang tersebut bagi pihak plaintif sebaik sahaja dimaklumkan pada 31 Mei 2022.”
Pihak bank turut menegaskan bahawa ia telah memenuhi segala kewajipan dan langkah perlindungan sebagai sebuah institusi perbankan seperti yang dikehendaki.
Yatt Fatt Auto diwakili oleh Sangeet Kaur Deo dan Harkiranjit Kaur daripada Tetuan Karpal Singh & Co, manakala institusi kewangan berkenaan diwakili Benjamin Chwee dan Lean Jie daripada Tetuan Azhar & Goh. - DagangNews.com








