KUALA LUMPUR 9 Okt - UEM Sunrise Bhd gagal dalam usaha untuk mencabar penilaian cukai tambahan dan penalti sebanyak RM8.49 juta yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan terdahulu yang memihak kepada pemaju hartanah itu.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, UEM Sunrise berkata Mahkamah Persekutuan pada 8 Okt telah membenarkan rayuan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada Disember 2024, yang sebelum ini memberi kebenaran kepada anak syarikat milik penuhnya, UEM Land Bhd (UEML), untuk meneruskan semakan kehakiman terhadap Kementerian Kewangan dan juga penangguhan bayaran cukai yang dipertikaikan, termasuk penalti serta faedah.
“Oleh itu, keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 19 Dis 2024 dibatalkan dan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan UEML bagi kebenaran semakan kehakiman terhadap Menteri Kewangan dikekalkan,” kata UEM Sunrise.
“Sehubungan itu, penangguhan bayaran cukai yang sebelum ini diberikan oleh Mahkamah Rayuan kini telah terbatal.”
Namun begitu, UEML akan terus meneruskan rayuannya di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), tambah syarikat itu.
UEML telah menerima notis penilaian cukai tambahan dan penalti tersebut pada 3 Mei 2021.
Tuntutan sebanyak RM8.49 juta itu, yang meliputi tahun taksiran dari 2013 hingga 2018, berkaitan dengan penghapusan kuota Bumiputera dan keperluan perumahan kos rendah bagi beberapa pembangunan di Iskandar Puteri, Johor.
Saham UEM Sunrise meningkat setengah sen atau 0.69% untuk ditutup pada 73 sen pada Rabu, memberikan syarikat itu modal pasaran sebanyak RM3.67 bilion. - DagangNews.com








