KUALA LUMPUR 19 Nov – Suasana Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Al Sultan Hj. Ahmad Shah bertukar meriah apabila seramai 164 pelajar mengambil bahagian dalam Program Salam PUTRA Kuala Tahan Siri 2: Perubahan Minda melalui STEM, anjuran Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program sehari itu menghimpunkan enam aktiviti STEM interaktif yang dirangka bagi meningkatkan kreativiti, pemikiran analitis dan minat pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
Menurut penganjur, pendekatan hands-on digunakan bagi memastikan konsep sukar dapat diterjemah menjadi pengalaman pembelajaran yang lebih mudah dan dekat dengan kehidupan seharian.
Antara aktiviti paling mendapat perhatian ialah Terrarium STEM, yang menyaksikan pelajar membina ekosistem mini sambil mempelajari kitaran air, fotosintesis dan konsep sistem tertutup.
Aktiviti Parachute Challenge pula menguji kemahiran mereka bentuk struktur, aerodinamik dan penyelesaian masalah, manakala permainan Crow Maths mengasah kemahiran logik dan strategi dalam suasana santai tetapi mencabar.
Melalui aktiviti Getaran dari Alam, pelajar mempelajari konsep bunyi, frekuensi dan gelombang dengan menggunakan bahan persekitaran sekolah.
Slot Little Forensic menawarkan pengalaman menjadi penyiasat apabila pelajar menganalisis cap jari dan mengenali teknik asas forensik.
Sementara itu, WoCay Alam (World of Nature) membawa pelajar meneroka biodiversiti Kuala Tahan, memupuk kefahaman mengenai ekosistem dan kepentingan kelestarian alam.
Menurut Pengarah Program, Mahareesshana A/P Krishnah Rao, pendekatan berasaskan pengalaman nyata itu meningkatkan keterujaan pelajar terhadap dunia STEM.
“Kami mahu pelajar melihat bahawa STEM bukan sekadar subjek peperiksaan, tetapi masa depan kerjaya. Teknologi pertanian, sains dan alam sekitar sangat berkait rapat antara satu sama lain. Pelajar Kuala Tahan mempunyai potensi besar untuk berjaya,” katanya dalam kenyataan.
Pengetua sekolah pula berkata, program tersebut memberi pendedahan luar biasa kepada pelajar luar bandar.
“Program ini membuka minda mereka. Melihat sendiri bagaimana sains dan teknologi diaplikasikan menjadikan pembelajaran lebih hidup dan bermakna,” jelasnya.
Program berkenaan bukan sahaja meningkatkan kemahiran saintifik pelajar, malah membantu mereka membuat keputusan tentang pemilihan aliran STEM pada Tingkatan 4, selaras dengan sasaran Kementerian Pendidikan untuk memperkasa minat dan penglibatan pelajar dalam bidang tersebut.
Menurut pihak penganjur, program ini turut mengukuhkan hubungan kerjasama antara UPM, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan komuniti Kuala Tahan.
Dengan sambutan menggalakkan dan penyertaan 164 pelajar, Program Salam PUTRA dijangka diteruskan sebagai platform tahunan yang memberi manfaat kepada pelajar luar bandar dalam usaha memasyarakatkan STEM. - DagangNews.com








