Mah Sing umum projek baharu RM3.3 bilion, perluas operasi pusat data di Southville City | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing umum projek baharu RM3.3 bilion, perluas operasi pusat data di Southville City

Dari kiri Pengarah Eksekutif Mah Sing, Dato’ Steven Ng Poh Seng; Pengasas merangkap Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Dato’ Sri Leong Hoy Kum; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif, Dato’ Voon Tin Yow; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif, Lionel Leong Jihn Haur.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 Jun - Mah Sing Group Bhd bakal melancarkan projek baharu berjumlah lebih RM3.3 bilion pada separuh kedua 2025, termasuk beberapa projek M Series yang mendapat sambutan tinggi daripada pembeli rumah.

 

Pada masa sama, syarikat hartanah itu turut merancang peluasan operasi pusat data berskala besar di Southville City di kawasan seluas 60.7 hektar. 

 

Tapak tersebut akan dilengkapi kapasiti beban bangunan 500 megawatt (MW) serta kemudahan asas seperti bekalan air, sambungan gentian gelap dan tenaga boleh diperbaharui di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (CRESS).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Dato’ Sri Leong Hoy Kum berkata, kedua-dua inisiatif berkenaan mencerminkan hala tuju jangka panjang Mah Sing untuk terus berkembang dalam sektor kediaman, industri dan digital.

 

"Kami yakin dengan asas kewangan yang kukuh, jenama yang dipercayai serta projek yang menepati permintaan pasaran, Mah Sing berada dalam kedudukan kukuh untuk terus menambah nilai kepada pemegang saham," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata demikian sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 syarikat, di sini hari ini.

 

Projek M Series itu akan dibangunkan di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang pada separuh kedua 2025, selari dengan prestasi jualan kukuh yang dicatatkan setakat ini.

 

Antara pelancaran utama yang dijadualkan termasuk:

 

Lembah Klang

* Impira @ M Legasi, Semenyih dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.3 bilion, mencatat kadar ambilan lebih 80% bagi Fasa 1A dan 1B.
* M Aurora di Jalan Klang Lama (GDV: RM660 juta), projek berorientasikan transit.
* M Aria di Sentul (GDV: RM283 juta).

 

Johor

* M Grand Minori, terletak hanya tiga kilometer dari Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS), akan dilancarkan dengan galeri jualan dan unit pameran dibuka pada Julai 2025. Projek ini mempunyai GDV RM1.5 bilion.
* Projek tambahan seperti Tiara Hills dan M Tiara II menyumbang gabungan GDV melebihi RM1.9 bilion.

 

Pulau Pinang

* M Zenni, pembangunan bercampur milik bebas di Batu Maung dengan GDV RM309 juta, bakal dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

 

Bagi pembangunan Mah Sing DC Hub @ Southville City, pusat data berskala besar itu direka untuk penggunaan syarikat gergasi dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) generatif, menandakan komitmen Mah Sing dalam meneroka peluang dalam sektor aset digital bernilai tinggi.

 

Selain itu, Mah Sing turut memiliki satu lagi tapak seluas 17 hektar di Meridin East, Johor Bahru yang berpotensi dibangunkan sebagai pusat data berkapasiti 300MW.

 

Dalam pada itu, Mah Sing juga memasang hampir 38,000 lampu jimat tenaga di lima projek sedia ada termasuk M Centura dan M Vertica, yang dijangka menjimatkan lebih 38 juta kWh elektrik dalam tempoh 10 tahun, bersamaan dengan penyerapan karbon oleh lebih 721,000 pokok.

 

Syarikat juga mengekalkan kedudukan dalam indeks FTSE4Good dan FTSE4GBM Shariah, serta menerima penarafan 4 bintang ESG daripada Bursa Malaysia, menjadikannya antara enam pemaju hartanah teratas dari segi prestasi kelestarian.

 

Unit pembuatan syarikat juga dijangka terus berkembang, termasuk dalam segmen penjagaan kesihatan menerusi produk Kinoko Hydrogel yang dibangunkan hasil penyelidikan dalaman. 

 

Mah Sing turut merancang penyenaraian berasingan unit perkilangan untuk meningkatkan nilai kepada pemegang saham. - DagangNews.com