Mah Sing sasar jualan RM2.65 bilion pada FY25 disokong projek mampu milik Siri M | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing sasar jualan RM2.65 bilion pada FY25 disokong projek mampu milik Siri M

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mac - Mah Sing Group Bhd menyasarkan jualan baharu RM2.65 bilion untuk FY25 disokong permintaan berdaya tahan bagi projek mampu milik Siri M dan produk rangkaian pertengahannya, kata MIDF Research.

 

Katanya, jualan yang tidak dibilkan pada 4QFY24 adalah mendatar pada RM2.7 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan yang positif.

 

"Kami positif terhadap prospek jualan baharu Mah Sing disokong permintaan berdaya tahan untuk projek kediaman mampu milik manakala Mah Sing DC Hub @ Southville City akan menyediakan pendapatan berulang dalam jangka masa terdekat.

 

"Mah Sing memperoleh jualan hartanah baharu sebanyak RM560 juta pada 4QFY24, menjadikan jumlah jualan baharu kepada RM2.41 bilion pada FY24, sedikit rendah daripada sasaran jualan RM2.5 bilion.

 

"Pada 2024, syarikat itu mencapai jualan hartanah sebanyak RM2.41 bilion, meningkat 6.6% daripada RM2.26 bilion pada 2023, menandakan jualan hartanah baharu tertinggi sejak 2015," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM241 juta dan hasil sebanyak RM2.52 bilion.

 

Hasil pembangunan hartanah berjumlah RM2.01 bilion, dengan keuntungan operasi RM381.3 juta. Penyumbang utama kepada pendapatan termasuk projek pembangunan seperti M Vertica di Cheras dan M Arisa di Sentul.

 

Penyumbang penting lain termasuk Southville City di Bangi, Ferringhi Residence di Pulau Pinang, M Zenya di Kepong, M Terra di Puchong, M Azura di Setapak, M Tiara, dan Mah Sing i-Parc di Johor.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan lebih tinggi disokong penjimatan kos daripada pemuktamadkan kos pembinaan untuk kontrak pembinaan.

 

Katanya, ia mempunyai lebih daripada cukup untuk mengimbangi perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi dan kos kewangan yang lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.09 sesaham," katanya.- DagangNews.com