Magma Group komited perkukuh pelaburan berasaskan pembangunan hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Magma Group komited perkukuh pelaburan berasaskan pembangunan hartanah

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 1 Julai – Magma Group Bhd komited untuk menjana pertumbuhan jangka panjang menerusi pembangunan hartanah bersepadu, aset hospitaliti, dan pelaburan gaya hidup.

 

Pada masa sama, kumpulan itu turut menyertai segmen makan dan minuman (F&B) mewah yang semakin berkembang pesat.

 

Memasuki separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (2QFY25), Magma terus memperkukuh asas pemegang saham, kedudukan kewangan, dan tumpuan operasi selaras matlamat menjadi kumpulan pelaburan gaya hidup terkemuka di Malaysia.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Thomas Liang Chee Fong berkata, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tahun ini mencerminkan lebih daripada sekadar kelulusan prosedur.

 

"Dengan penstrukturan korporat yang kini selesai serta usaha baharu seperti pengambilalihan tanah di Mont Kiara dan usaha sama dengan Chagee yang sedang berjalan, fokus kami kini adalah kepada pelaksanaan dan penciptaan nilai mampan," katanya dalam satu kenyataan.

 

AGM ke-16 kumpulan menyaksikan semua usul yang dibentangkan menerima kelulusan pemegang saham.

 

Usul yang diluluskan termasuk penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, pemilihan semula pengarah bersara, pelantikan semula Moore Stephens Associates sebagai juruaudit luar serta kelulusan yuran dan manfaat pengarah hingga AGM seterusnya.

 

Antara usul utama ialah pembaharuan kuasa lembaga untuk menerbitkan sehingga 10% saham baharu di bawah Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016.

 

Pemegang saham turut meluluskan kebenaran baharu bagi urus niaga berulang pihak berkaitan, membolehkan kumpulan menjalankan operasi rutin dengan lebih cekap selaras peraturan penyenaraian Bursa Malaysia.- DagangNews.com