MAG tingkatkan prestasi pelajar, kemudahan digital menerusi Program Sekolah Angkat MADANI di Selangor dan Kedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG tingkatkan prestasi pelajar, kemudahan digital menerusi Program Sekolah Angkat MADANI di Selangor dan Kedah

MAG turut menganjurkan sesi ceramah kerjaya dan motivasi yang disertai lebih 240 pelajar SMK Dato’ Syed Omar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Mei – Malaysia Aviation Group (MAG) terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan pendidikan dan komuniti menerusi penyertaan dalam Program Sekolah Angkat MADANI, satu inisiatif kerajaan yang bertujuan meningkatkan akses pendidikan berkualiti, pembelajaran digital serta pemerkasaan guru di seluruh negara.

 

Melalui program ini, MAG telah mengambil tanggungjawab ke atas dua buah sekolah iaitu SK Taman Pantai Sepang Putra di Sepang, Selangor dan SMK Dato’ Syed Omar di Alor Setar, Kedah sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem pendidikan negara.

 

Inisiatif ini digerakkan berasaskan tiga teras tanggungjawab sosial korporat (CSR) MAG iaitu pendidikan, kemanusiaan dan alam sekitar yang menjadi asas kepada setiap program komuniti yang dilaksanakan oleh kumpulan tersebut.

 

MAG berkata usaha ini selari dengan komitmen mereka terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan.

 

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara, manakala guru pula menjadi tunjang utama dalam memastikan keberkesanan sistem pendidikan.

 

“Melalui Program Sekolah Angkat MADANI, MAG berhasrat memberi impak bermakna bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada guru melalui sokongan pembelajaran, pendedahan kerjaya serta pembangunan profesional yang lebih menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Baru-baru ini, MAG telah melaksanakan Program Latihan Kemahiran Insaniah untuk guru dan kakitangan sokongan di SMK Dato’ Syed Omar yang memberi tumpuan kepada pengurusan stres, kecerdasan emosi, komunikasi interpersonal serta kemahiran kepimpinan.

 

Program bersempena sambutan Hari Guru itu dikendalikan oleh jurulatih dari MAB Academy, yang memberi penekanan kepada pengurusan bilik darjah yang lebih berkesan serta kesejahteraan guru dalam persekitaran kerja harian.

 

t

 

Selain itu, MAG turut menganjurkan sesi ceramah kerjaya dan motivasi yang disertai lebih 240 pelajar SMK Dato’ Syed Omar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

 

Sesi tersebut memberi pendedahan mengenai peluang kerjaya dalam industri penerbangan, selain menggalakkan pelajar untuk terus berusaha mencapai cita-cita dengan disiplin, keyakinan dan ketahanan diri yang tinggi.

 

Dalam usaha memperkukuh akses digital di sekolah, MAG turut menyumbangkan lebih 30 unit komputer meja kepada SK Taman Pantai Sepang Putra bagi menyokong pembelajaran berasaskan teknologi serta mempertingkatkan kemudahan infrastruktur digital sekolah.

 

Sumbangan ini bertujuan merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar, sekali gus memastikan pelajar mendapat peluang pembelajaran yang lebih setara dan moden.

 

Dari sudut pencapaian akademik, SMK Dato’ Syed Omar mencatat keputusan SPM 2025 yang memberangsangkan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.17 serta kadar kelayakan sijil SPM sebanyak 100 peratus.

 

Sekolah tersebut turut menunjukkan peningkatan prestasi apabila bilangan pelajar yang memperoleh keputusan semua A meningkat daripada dua orang pada tahun 2024 kepada enam orang pada tahun 2025, mencerminkan peningkatan kualiti pembelajaran dan penglibatan pelajar.

 

MAG berkata sokongan terhadap kedua-dua sekolah ini akan diteruskan melalui pelbagai inisiatif akan datang termasuk program pendedahan pendidikan lanjutan, lawatan pendidikan serta pembangunan profesional untuk guru dan kakitangan sekolah.

 

Secara keseluruhannya, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MAG dalam membina komuniti yang lebih berdaya tahan, memperkasa pendidikan negara serta menyokong pembangunan bakat masa depan yang bersedia menyumbang kepada industri dan ekonomi negara. - DagangNews.com