MAG bakal bina hab katering baharu hasilkan 50,0000 hidangan dalam pesawat menjelang 2029 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG bakal bina hab katering baharu hasilkan 50,0000 hidangan dalam pesawat menjelang 2029

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept – Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd, merancang untuk melancarkan hab katering dalam pesawatnya menjelang 2029 sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh perniagaannya.

 

Ia akan dibina berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan diuruskan oleh MAG Catering Solutions (MAGCS).

 

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Nasaruddin Bakar berkata, hab baharu itu bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran melebihi 50,000 hidangan dalam penerbangan setiap hari berbanding 26,000 hidangan ketika ini.

 

“Kapasiti pengeluaran MAGCS sekarang tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan Malaysia Airlines dan Firefly. 

 

“Kami masih bergantung pada rakan kongsi katering lain. Hab katering ini akan menampung keseluruhan rangkaian Malaysia Airlines.

 

“Lebihannya akan digunakan untuk syarikat penerbangan lain di bawah MAG atau syarikat penerbangan luar yang ingin mendapatkan khidmat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Annual Airline 101 MAG hari ini.

 

t

 

Projek itu dijangka siap pada 2029, dengan pengumuman lanjut akan dibuat tahun depan setelah kumpulan memperoleh lesen yang diperlukan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

 

Perancangan itu selaras visi MAG untuk menyediakan operasi katering secara bersepadu.

 

Kumpulan itu menubuhkan unit katering sendiri pada September 2023 selepas menamatkan kerjasama selama 25 tahun dengan Brahim’s Food Services.

 

Mengulas lanjut, Nasaruddin berkata, MAG telah memperuntukkan kos yang besar bagi membeli banyak peralatan baharu termasuk trak pengangkat tinggi, bagi memastikan operasi katering berjalan lancar dalam tempoh sebulan selepas pengambilalihan.

 

Pada waktu kemuncaknya, operasi katering MAG melibatkan kira-kira 400 pekerja dengan lebih 80% daripadanya merupakan pekerja asing.

 

Beliau berkata, hab baharu itu akan dilengkapi mesin automasi canggih dalam penyediaan makanan, pelupusan, penyimpanan, pembungkusan dan pengangkutan.

 

Nasaruddin berkata, pelaburan dalam teknologi kekal menjadi teras agenda transformasi MAG sehingga 2030, dengan kerjasama bersama pemain teknologi global dijangka memperluas pangkalan pelanggan dan membuka aliran pendapatan baharu.

 

“Kumpulan kini memfokuskan dua keutamaan iaitu memperkukuh aliran hasil dan meningkatkan kecekapan operasi secara menyeluruh,” katanya.- DagangNews.com