LSH Capital peroleh kontrak 20 tahun selenggara Menara KL | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LSH Capital peroleh kontrak 20 tahun selenggara Menara KL

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Mac - Lim Seong Hai Capital Bhd memeterai perjanjian sewa selama 20 tahun dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi kerja-kerja pengurusan, operasi dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur serta kawasan sekitarnya.

 

LSH Capital berkata, perjanjian sewa tersebut ditandatangani oleh LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), sebuah usaha sama antara LSH BEST Builders Sdn Bhd (LSHBB) dan Service Master (M) Sdn Bhd (SMMSB), dengan LSHBB memegang 70% dan SMMSB 30%.

 

Perjanjian sewa selama 20 tahun yang bermula pada 1 April 2025 hingga 31 Mac 2045 tersebut, membolehkan LSHSM menguruskan Menara Kuala Lumpur.

 

Ia juga memberi akses kepada tanah seluas 0.40 hektar, termasuk menara, ruang teres menara dan kawasan sekitar berhampiran Hutan Simpan Bukit Nanas, Jalan Raja Chulan dan Jalan P. Ramlee.

 

Pengerusi Bukan Eksekutif LSH Capital, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberi kepercayaan menguruskan aset negara itu.

 

"Kami melihat ini sebagai peluang keemasan untuk memberi sumbangan yang bermakna kepada landskap bandar Malaysia dan daya tarikan pelancongan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Projek Menara Kuala Lumpur menandakan projek perkhidmatan pengurusan kemudahan pertama bagi LSH Capital, bertujuan mewujudkan aliran pendapatan berulang jangka panjang bagi kumpulan. - DagangNews.com