KUALA LUMPUR 7 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan Lotte Chemical Titan Holding Bhd terus mencatatkan kerugian besar untuk tempoh tiga tahun akan datang kesan kos nafta (produk sampingan minyak mentah) yang tinggi dan kadar operasi yang rendah.
Katanya, kos nafta kini mencecah antara AS$560 hingga AS$571 bagi setiap tan manakala kadar operasi kumpulan itu adalah sekitar 52%.
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan data Bloomberg, purata sebaran nafta polietilena berketumpatan tinggi (HDPE-nafta), pada purata AS$300 setiap tan setakat ini pada 2025 (1 Jan 2025 hingga 6 Feb 2025), iaitu 10% lebih rendah daripada purata AS$335 setiap tan pada 4QFY24.
Berdasarkan analisis, sebaran HDPE-nafta perlu berada melebihi AS$500 setiap tan bagi membolehkan kumpulan itu pulang modal.
"Kumpulan itu masih menghadapi masalah berganda kerana kami menjangkakan harga polimer akan meningkat dalam masa terdekat dan tekanan margin daripada kenaikan harga nafta yang berterusan.
"Dengan itu, kami menjangkakan Lotte Chemical Titan akan terus mencatatkan kerugian sepanjang tahun ini kerana kitaran petrokimia kekal lemah untuk tempoh tiga tahun akan datang," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Rugi bersih Lotte Chemical Titan pada FY24 meningkat kepada RM1.2 bilion disebabkan kerugian lebih tinggi syarikat bersekutu
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan penyusutan hasil sebanyak 3% kepada RM7.4 bilion berbanding RM7.6 bilion pada FY23 disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah walaupun purata harga jualan produk meningkat.
Keputusan itu disebabkan situasi geopolitik, seperti konflik Rusia-Ukraine, ketegangan di Asia Barat selain prestasi ekonomi yang perlahan selain lebihan bekalan produk petrokimia di China telah menjejaskan keseimbangan bekalan dan permintaan.
Maybank IB berkata, kumpulan itu akan terus mengalami kerugian seunit jualan dalam persekitaran operasi semasa kerana penyebaran polimer-nafta kekal lemah pada purata AS$330 setiap tan pada 4QFY24.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) 39 sen sesaham. - DagangNews.com








