KUALA LUMPUR 6 Feb - Kerugian bersih Lotte Chemical Titan Holding Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) meningkat kepada RM1.2 bilion berbanding RM812 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya disebabkan rosot nilai dan kerugian lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.
Ia juga berpunca daripada impak tukaran mata wang asing dan peningkatan kos kewangan.
Kumpulan itu mencatatkan penyusutan hasil sebanyak 3% kepada RM7.4 bilion berbanding RM7.6 bilion pada FY23 disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah walaupun purata harga jualan produk meningkat.
"Keputusan itu disebabkan situasi geopolitik, seperti konflik Rusia-Ukraine, ketegangan di Asia Barat selain prestasi ekonomi yang perlahan selain lebihan bekalan produk petrokimia di China telah menjejaskan keseimbangan bekalan dan permintaan.
"Peningkatan kerugian itu bagaimanapun diimbangi keuntungan tukaran mata wang asing sebanyak RM470 juta daripada pembubaran anak syarikat sebelum ini didenominasikan dalam Dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam satu kenyataan.
Penilaian kemerosotan suku tahunan menunjukkan penyusutan nilai aset sebanyak RM940 juta untuk FY24 menurut Piawaian Perakaunan MFRS 136.
Katanya, sebab-sebab kemerosotan ini adalah, disebabkan ketidaktentuan berterusan dalam persekitaran perniagaan, dan sebaliknya, ketidaktentuan harga bahan mentah dan purata jualan.
Kumpulan melaporkan hasil 4QFY24 sebanyak RM1.8 bilion dan kerugian bersih RM522 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jang Seon Pyo berkata, cabaran berterusan disebabkan ketidaktentuan berterusan dalam permintaan dan bekalan produk serta rantaian bekalan untuk petrokimia, didorong turun naik harga minyak dan purata harga jualan purata.
Katanya, persekitaran makroekonomi dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat.
"Memandangkan tekanan luaran terhadap industri kekal ketara, fokus utama kami untuk tahun akan datang adalah untuk mengekalkan kestabilan operasi dan melaksanakan pengurusan kos yang cekap," katanya.
Sementara itu, projek Lotte Chemical Indonesia New Ethylene (LINE) di Merak, Indonesia berada di landasan untuk siap tahun ini.
Pihak pengurusan akan terus memantau dengan teliti dinamik pasaran dan menyediakan kemas kini mengenai kemajuan projek dengan sewajarnya. - DagangNews.com








