Lindung 24/7: Presiden MTUC tidak setuju piket, mahu dialog dengan Perkeso | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lindung 24/7: Presiden MTUC tidak setuju piket, mahu dialog dengan Perkeso

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Sept - Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor tidak bersetuju dengan cadangan Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor untuk mengadakan piket di seluruh negara bagi membantah pelaksanaan skim Lindung 24/7 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

Halim berkata, walaupun beliau menghormati hak pemimpin kesatuan untuk bersuara dan memperjuangkan kepentingan pekerja, pendekatan lebih baik dalam isu berkenaan adalah meneruskan dialog bersama Perkeso dan kerajaan.

 

“Saya menghormati hak pemimpin kesatuan untuk bersuara dan memperjuangkan pekerja, tetapi saya tidak bersetuju dengan tindakan mengadakan piket dalam perkara ini.

 

 

 

 

 

 

“Pendekatan yang lebih baik adalah meneruskan dialog dengan Perkeso dan kerajaan untuk menyuarakan kebimbangan pekerja berkaitan skim ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Semalam, Kamarul berkata MTUC akan mengadakan piket di pejabat Perkeso di seluruh negara bagi membantah pelaksanaan Lindung 24/7 serta mendesak agensi itu mengadakan perbincangan segera dengan wakil pekerja.

 

Kamarul mendakwa kadar caruman ditetapkan terlalu tinggi selain kesatuan sekerja tidak dirunding berhubung pelaksanaan skim berkenaan. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: MTUC adakan piket di seluruh pejabat Perkeso bantah cara pelaksanaan skim Lindung 24 jam

 

Dalam pada itu Halim turut menolak dakwaan bahawa Lindung 24/7 diperkenalkan tanpa rundingan dengan pekerja serta pihak berkepentingan utama.

 

Menurutnya, perbincangan mengenai keperluan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja telah berlangsung selama beberapa tahun dan melibatkan wakil pekerja, majikan, kesatuan sekerja serta pihak berkepentingan lain.

 

“Sejak 2018, beberapa siri sesi libat urus diadakan di 13 lokasi di seluruh negara dengan penyertaan lebih 1,400 orang. MTUC merupakan antara organisasi yang terlibat dalam proses tersebut.

 

“Perbincangan mengenai skim ini terus berlangsung apabila lebih banyak butiran berkaitan konsep dan pelaksanaannya didedahkan. Saya terlibat dalam perbincangan sedemikian bersama Perkeso,” katanya.

 

Halim berkata, masih terdapat ruang untuk perbincangan bagi membangkitkan perbezaan pandangan berkaitan kadar caruman, pelaksanaan dan perkara lain.

 

Pada masa sama, beliau mempertahankan Lindung 24/7 sebagai skim yang menangani jurang perlindungan pekerja yang telah lama wujud, khususnya bagi melindungi pekerja dan keluarga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di luar waktu bekerja.

 

“Kita tidak seharusnya melihat Lindung 24/7 hanya daripada perspektif caruman tetapi juga risiko yang ditanggung pekerja dan keluarga mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di luar waktu bekerja,” katanya.

 

Beliau berkata, keputusan kerajaan menjadikan penyertaan dalam skim itu secara sukarela turut mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.

 

“Pada pandangan saya, kerajaan telah memberikan tempoh yang munasabah kepada pekerja untuk menentukan sama ada mereka mahu menyertai Lindung 24/7 atau tidak,” katanya.

 

Lindung 24/7 dibiayai sepenuhnya oleh pekerja, berbeza dengan model tradisional Perkeso yang sebahagian besarnya dibiayai majikan.

 

 

 

 

 

 

Kadar caruman bermula pada 0.75% daripada gaji bulanan, meningkat kepada 1% pada tahun ketiga dan 1.25% mulai tahun keenam.

 

Majikan akan membuat bayaran kepada Perkeso bersama caruman bulanan lain seperti biasa, membolehkan pekerja yang layak menerima perlindungan tanpa perlu mengambil polisi berasingan. - DagangNews.com