Lianson Fleet pada kedudukan kukuh raih manfaat pertumbuhan infrastruktur, tenaga ASEAN - AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lianson Fleet pada kedudukan kukuh raih manfaat pertumbuhan infrastruktur, tenaga ASEAN - AmInvest

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Okt – Lianson Fleet Group Bhd (LFG) berada dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada arus peralihan tenaga serantau serta pertumbuhan infrastruktur ASEAN, kata AmInvest.

 

Sehubungan itu bank pelaburan itu mengekalkan saranan “BELI” dengan kenaikan harga sasaran (TP) kepada RM3.00 sesaham (selepas penukaran penuh waran), berbanding RM2.40 sesaham sebelum ini, sekali gus mewakili potensi kenaikan sebanyak 36%.

 

Menurut AmInvest, kenaikan TP ini didorong oleh peningkatan 15% dalam nilai pilihan infrastruktur (infra optionality) kumpulan, hasil daripada dua pemangkin utama.

 

Pertama pengambilalihan pelabuhan di Vietnam, yang menjadi nod penting dalam koridor peralihan tenaga angin luar pesisir di selatan negara itu.

 

Kedua inisiatif pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (APG) oleh Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB) bernilai keseluruhan AS$12.5 bilion (RM53 bilion).

 

AmInvest percaya, kedua-dua perkembangan ini menempatkan LFG dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada arus peralihan tenaga serantau, selain meningkatkan kebolehbiayaan dan kelangsungan pembiayaan projek melalui sokongan pelbagai institusi kewangan antarabangsa.

 

“Pegangan LFG dalam pelabuhan di Vietnam membuka laluan kepada peluang baharu dalam projek berkaitan APG, manakala komitmen pembiayaan daripada Bank Dunia dan ADB meningkatkan tahap keyakinan terhadap keupayaan pelaksanaan kumpulan,” kata laporan itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Lianson Fleet teroka pasaran maritim Vietnam, perluas portfolio pelabuhan bernilai RM22.2 juta

 

Menurut AmInvest, dengan kedudukan tunai bersih dan keuntungan pelupusan berjumlah RM186 juta setakat tahun ini (YTD), LFG dilihat berada pada landasan kukuh untuk memperluas peranan sebagai pemacu utama infrastruktur ASEAN.

 

Penganalisis percaya, syarikat kini berada dalam fasa pertumbuhan baharu, sejajar dengan pelaburan pesat tenaga angin luar pesisir di Vietnam yang dijangka menjadi antara pasaran paling rancak di rantau ini bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

 

“Dengan strategi pelaburan berimpak tinggi dan asas kewangan yang stabil, kami melihat LFG sedang berevolusi daripada pemain marin dan tenaga kepada peneraju pembangunan infrastruktur serantau, sejajar dengan agenda tenaga bersih dan keterhubungan ASEAN,” tambah laporan itu.

 

Langkah Strategik di Vietnam

 

Menurut AmInvest, sebagai sebahagian daripada strateginya mengukuhkan kedudukan serantau, LFG bakal mengambil alih 100% kepentingan dalam Yinson Port Ventures, yang memiliki 40% pegangan dalam PTSC Phu My Port di wilayah Ba Ria–Vung Tau, Vietnam — kawasan tumpuan utama pembangunan tenaga angin luar pesisir negara itu.

 

Kajian oleh Equinor dan BVG Associates mengenal pasti Pelabuhan Phu My sebagai antara hab pembuatan utama tenaga angin luar pesisir di Vietnam, disokong oleh akses air dalam 14.5 meter serta lokasinya berhampiran kilang pembuatan menara turbin CS Wind.

 

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan beberapa penambahbaikan sederhana pada jeti dan kawasan limbungan diperlukan bagi menampung projek berskala besar dalam tenaga angin luar pesisir.

 

Memanfaatkan Peluang Grid Kuasa ASEAN

 

Kedudukan strategik dan keupayaan fabrikasi Pelabuhan Phu My menjadikannya lokasi ideal untuk operasi pemunggahan kabel HVDC (High-Voltage Direct Current) bagi projek tenaga rentas sempadan.

 

Difahamkan, pengendali pelabuhan telah menandatangani Perjanjian Usaha Sama (JDA) dengan sebuah syarikat pengeluar kabel dari Korea Selatan untuk meneroka pembinaan kilang kabel dasar laut di kawasan pelabuhan berkenaan.

 

Walaupun masih di peringkat kajian kebolehlaksanaan, kerjasama ini memperkukuh peranan pelabuhan itu dalam rantaian nilai APG, dengan LFG berpotensi menikmati dua bentuk pulangan.

 

Pertama keuntungan infrastruktur daripada penglibatan dalam pembuatan tenaga angin luar pesisir dan kedua, peluang operasi masa depan dalam perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir (OSV) untuk pemasangan kabel dasar laut.

 

Lonjakan Keyakinan Melalui Pembiayaan Serantau

 

Di peringkat serantau, ADB komited menyalurkan AS$10 bilion (RM42 bilion) menerusi pinjaman dan instrumen campuran, manakala Bank Dunia menambah AS$2.5 bilion (RM11 bilion) bagi sokongan teknikal dan penyediaan projek di bawah Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (APG Financing Initiative).

 

Fasiliti pembiayaan khusus ini dijangka mengurangkan risiko pembiayaan LFG serta meningkatkan kebolehbiayaan projek tenaga rentas sempadan, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan projek berskala besar di seluruh rantau ASEAN.

 

Menurut AmInvest, penilaian semula dibuat berdasarkan unjuran pendapatan sesaham FY27F (EPS FY27F) dengan pendekatan campuran 8 kali ganda PE untuk segmen kapal sokongan luar pesisir (OSV), 9 kali ganda PE untuk segmen marin, 13 kali ganda PE untuk segmen tenaga, dan 17 kali ganda PE untuk potensi infrastruktur.

 

Gabungan ini menghasilkan harga sasaran baharu RM3.00 sesaham, bersamaan potensi kenaikan 36% daripada paras semasa.

 

Walau bagaimanapun, AmInvest turut memberi amaran terhadap risiko kelewatan pelaksanaan projek, perubahan dasar dan peraturan, serta kenaikan kos modal (capex) yang boleh menjejaskan unjuran keuntungan kumpulan. - DagangNews.com