Lianson Fleet teroka pasaran maritim Vietnam, perluas portfolio pelabuhan bernilai RM22.2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lianson Fleet teroka pasaran maritim Vietnam, perluas portfolio pelabuhan bernilai RM22.2 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 OktLianson Fleet Group Berhad terus mengukuhkan kedudukan sebagai pemain serantau dalam sektor logistik dan pengangkutan laut dengan meneroka pasaran maritim di Vietnam.


Langkah tersebut susulan pemeteraian perjanjian pengambilalihan dua syarikat operasi pelabuhan dan gudang di Vietnam, iaitu Yinson Port Ventures Pte Ltd (YPVPL) dan Yinson Premier Limited (YPL).


Kata kumpulan berkenaan, usaha pembelian YPVPL dan YPL masing-masing bernilai sebanyak RM15.8 juta dan RM6.4 juta, yang akan diselesaikan melalui proses terbitan saham awam baharu oleh Lianson Fleet. 


"Urus niaga ini dijangka dapat dimuktamadkan menjelang tempoh suku keempat 2025, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan syarat-syarat lazim," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Berdasarkan langkah itu, ia akan menambah sebuah lagi pelabuhan maritim dan dua gudang ke dalam portfolio asetnya, yang menandakan kemasukan kumpulan ke dalam sektor infrastruktur pelabuhan.


Menurut Pengerusi Eksekutif Lianson Fleet, Lim Chern Wooi, perluasan ini membuka pintu kepada perkongsian jangka panjang dan pelaburan strategik baharu di Asia Tenggara, khususnya Vietnam.


Kumpulan itu juga tambahnya, sudah berjaya menyelesaikan pengambilalihan dua kapal kargo pukal, MV Moana BAQ dan MV Pacific Ace, yang menjadikan jumlah aset maritim kumpulan kini sebanyak 59 unit.


"Ia terdiri daripada 21 kapal sokongan pesisir (OSV) dan 38 kapal pengangkutan marin. Langkah ini selari dengan strategi kumpulan untuk terus mempelbagaikan portfolio maritim," jelas beliau.


Pada masa sama kata Chern Wooi, usaha berkenaan dilaksanakan bagi memenuhi permintaan kargo pukal yang semakin meningkat di rantau ASEAN serta mengukuhkan lagi potensi pendapatan jangka panjang.


Lianson Fleet jelas beliau, menyifatkan Vietnam sebagai hab strategik baharu untuk operasi maritim, disokong oleh kerjasama tempatan dan potensi pertumbuhan perdagangan laut di Asia Pasifik.


“Kami bersedia untuk meneroka segmen baharu yang berdaya saing seperti pelabuhan dan gudang, seiring dengan permintaan serantau terhadap logistik maritim,” tambahnya. - DagangNews.com