LHDN terima rayuan DRB-Hicom berhubung liabiliti cukai RM246 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LHDN terima rayuan DRB-Hicom berhubung liabiliti cukai RM246 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - DRB-Hicom Bhd terlepas daripada potensi liabiliti cukai RM246.25 juta selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima rayuan konglomerat itu bagi mengubah keputusannya untuk mengklasifikasikan keuntungan daripada pelupusan kepentingan lamanya dalam Alam Flora Sdn Bhd sebagai pendapatan.

 

DRB-Hicom berkata, anak syarikatnya, Hicom Holdings Bhd (HHB), menerima pemberitahuan daripada LHDN yang mengesahkan pelepasan penuh jumlah cukai RM246.25 juta itu.

 

Perkara itu berlaku selepas HHB mengemukakan rayuan terhadap notis taksiran tambahan, yang diterima pada 30 Ogos 2024, dengan dokumen sokongan tambahan.

 

“LHDN, atas pertimbangan sewajarnya, telah membenarkan rayuan dan memutuskan, keuntungan daripada pelupusan anak syarikat tidak tertakluk kepada cukai di bawah Seksyen 4(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2020,” kata DRB-Hicom dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Seksyen 4(a) berkaitan dengan kelas pendapatan khas di mana cukai boleh dikenakan.

 

Pada tahun lalu, LHDN mengenakan DRB-Hicom dengan bil cukai RM246.25 juta selepas memutuskan untuk menganggap keuntungan pelupusan daripada kepentingan jangka panjang 97.37% dalam Alam Flora sebagai pendapatan.

 

Pelaburan itu telah dipegang oleh HHB selama 24 tahun.

 

Menurut laporan tahunan 2019 DRB-Hicom, penjualan itu selesai dengan wang tunai RM869 juta, dibayar oleh anak syarikat Malakoff Corp Bhd, Tunas Pancar Sdn Bhd.

 

Perjanjian itu menghasilkan keuntungan pelupusan sebanyak RM514.67 juta untuk DRB-Hicom.

 

Perjanjian itu merupakan urus niaga pihak berkaitan, kerana pemegang saham DRB-Hicom sebanyak 55.92% iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary juga memegang kepentingan 38.45% dalam Malakoff.- DagangNews.com