LHDN siasat syarikat kenderaan mewah disyaki gagal lapor pendapatan sebenar RM70 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LHDN siasat syarikat kenderaan mewah disyaki gagal lapor pendapatan sebenar RM70 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 18 Nov – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendedahkan sebuah syarikat yang disyaki terbabit dalam kartel perdagangan kenderaan mewah didapati gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan dianggarkan sekitar RM70 juta.

 

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata, penemuan itu diperolehi selepas operasi penguatkuasaan dijalankan di premis perniagaan syarikat, kediaman pengarah serta sebuah firma audit di Lembah Klang untuk mendapatkan dokumen dan bukti berkaitan ketidakpatuhan cukai itu. 

 

"Penemuan awal menunjukkan syarikat tersebut tidak mengisytiharkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan yang dianggarkan RM70 juta," katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Kes ini sedang disiasat mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, melibatkan kedua-dua syarikat dan pengarahnya. 

 

Operasi ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membanteras kartel dan sindiket penyeludupan lama yang merugikan hasil negara.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, tindakan ini merupakan pendekatan berfokus untuk memperkukuh kepatuhan cukai, terutama dalam sektor berisiko tinggi seperti perdagangan kenderaan mewah. 

 

"Ketidakpatuhan melibatkan jumlah besar seperti ini bukan sahaja menjejaskan hasil negara tetapi turut mengancam keadilan sistem cukai dan tidak boleh dipandang ringan," katanya.

 

LHDN menegaskan tindakan pendakwaan yang sedang dan bakal dijalankan juga merangkumi kes berkaitan perlombongan emas, penipuan, penyalahgunaan status kebajikan untuk menutup transaksi, hasil perjudian, aktiviti haram lain serta perniagaan milik asing yang gagal melaporkan pendapatan.

 

 

 

 

 

 

 

 

"Langkah-langkah ini menunjukkan komitmen LHDN untuk memastikan pematuhan cukai penuh dan mengekang kebocoran hasil negara. Setiap pihak mesti menunaikan tanggungjawab cukai demi kepentingan negara dan rakyat," menurut kenyataan itu.

 

Operasi ini diharap memberi mesej jelas LHDN akan meningkatkan pengawasan dalam sektor bernilai tinggi dan tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan untuk mengelak cukai. - DagangNews.com