Leform meterai pelaburan strategik bernilai RM25 juta dengan anak syarikat Nippon Steel Trading | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Leform meterai pelaburan strategik bernilai RM25 juta dengan anak syarikat Nippon Steel Trading

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Mac — Leform Berhad memeterai perjanjian langganan saham dengan NST Trading Malaysia Sdn Bhd (NSTM), anak syarikat milik penuh Nippon Steel Trading Corporation, bagi melanggan saham baharu di bawah pelaksanaan penempatan persendirian syarikat itu.

 

Di bawah perjanjian tersebut, NSTM akan melanggan 148.1 juta saham biasa baharu dalam Leform menerusi pelaksanaan penempatan persendirian sehingga 10% daripada modal saham terbitan sedia ada syarikat.

 

Harga langganan ditetapkan pada 16.88 sen sesaham, yang ditentukan berdasarkan diskaun kepada purata harga pasaran wajaran volum lima hari sebelum tarikh penetapan harga, selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Selepas selesai pelaksanaan itu, Leform dijangka memperoleh hasil kira-kira RM25 juta.

 

NSTM terlibat terutamanya dalam pengedaran keluli dan logam bukan ferus, dan beroperasi sebagai anak syarikat milik penuh Nippon Steel Trading Corporation, sebuah syarikat perdagangan global yang berpangkalan di Tokyo dengan operasi merangkumi sektor keluli, bekalan industri dan infrastruktur, makanan serta tekstil.

 

Menurut Leform, pelaburan strategik itu merupakan satu pencapaian penting yang akan mengukuhkan kerjasama syarikat dengan kumpulan perdagangan keluli bertaraf antarabangsa, sekali gus membuka peluang kepada kerjasama lebih mendalam dalam integrasi rantaian bekalan, pengedaran produk serta pembangunan pasaran serantau.

 

Pengarah Urusannya, Law Kok Thye berkata, penyertaan NSTM mencerminkan keyakinan kukuh terhadap asas perniagaan dan prospek pertumbuhan jangka panjang Leform.

 

“Pelaburan strategik ini bukan sahaja mengukuhkan asas modal kami, malah berpotensi mewujudkan sinergi yang boleh meningkatkan daya tahan rantaian bekalan serta memperluas capaian pasaran,” katanya.

 

Hasil daripada penempatan persendirian itu dijangka digunakan terutamanya bagi pembelian bahan mentah, sekali gus membolehkan kumpulan menyimpan stok produk lebih awal sebelum pesanan diterima, meningkatkan kecekapan penghantaran serta membuat perolehan keluli lebih awal sebelum kenaikan harga bagi menambah baik margin keuntungan kasar.

 

Leform turut berpandangan kerjasama tersebut akan melengkapi operasi sedia ada dan mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem rantaian bekalan keluli di Malaysia.

 

Dalam masa sama, kumpulan itu terus menumpukan kepada pengembangan keupayaan operasi, termasuk kemudahan gudang bersepadu di Serendah yang dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat bagi meningkatkan kecekapan pengurusan inventori serta logistik.

 

Melangkah ke hadapan, Leform kekal berhati-hati optimis terhadap prospek industri keluli, disokong oleh pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur di Malaysia serta pengembangan sektor perindustrian di peringkat serantau. - DagangNews.com