KUALA LUMPUR 19 Ogos - Leader Cable Industry Bhd (LCIB), bekas anak syarikat Sarawak Cable Bhd yang telah dinyahsenarai, berjaya keluar daripada proses penggulungan selepas seorang pelabur mengambil alih perniagaan dan saham pengeluar kabel itu menerusi pelaksanaan pelan penstrukturan semula.
Kejayaan itu bukan sahaja membolehkan Leader Cable kembali beroperasi sebagai sebuah syarikat berterusan (going concern), malah membuka lembaran baharu kepada salah satu pengeluar kabel terbesar negara yang pernah berdepan ketidaktentuan kewangan dan pertikaian undang-undang.
Deloitte Malaysia berkata, Leader Cable secara rasmi keluar daripada proses penggulungan pada 6 Mei 2026 selepas pelabur berkenaan dan pelikuidasi memperoleh sokongan pemiutang terhadap satu skim pengaturan bagi mempermodal semula syarikat tersebut.
Rakan kongsi Deloitte Malaysia Strategy, Risk & Transactions, Khoo Siew Kiat dan Eddie Goh, yang dilantik sebagai pelikuidasi oleh Mahkamah Tinggi pada Mei 2024, sebelum itu meneruskan operasi perniagaan Leader Cable sambil mencari pelabur yang sesuai untuk menyelamatkan syarikat berkenaan.
“Pelikuidasi meneruskan operasi perniagaan dan berjaya mendapatkan seorang pelabur untuk mengambil alih perniagaan serta saham Leader Cable.
“Pelabur dan pelikuidasi memperoleh sokongan pemiutang terhadap skim pengaturan untuk mempermodal semula Leader Cable, sekali gus membolehkan syarikat itu keluar daripada proses penggulungan pada 6 Mei 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Perkembangan itu turut membolehkan Leader Cable meneruskan peranannya sebagai pembekal kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pelbagai projek infrastruktur kabel di seluruh Semenanjung Malaysia.
Ini termasuk projek penghantaran voltan tinggi serta pengagihan voltan rendah, sekali gus memastikan kesinambungan operasi sebuah syarikat yang mempunyai sejarah hampir lima dekad dalam industri kabel tempatan.
Lebih penting, proses penstrukturan semula itu berjaya mengekalkan lebih daripada 300 pekerjaan tempatan, selain membantu memaksimumkan pulangan kepada para pemiutang.
Penggulungan Bermula Pada 2024
Leader Cable sebelum ini diletakkan di bawah proses penggulungan pada Mei 2024 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan petisyen penggulungan yang difailkan oleh OCBC Bank (Malaysia) Bhd terhadap syarikat itu dan sebuah lagi anak syarikat Sarawak Cable, Universal Cable (M) Bhd.
OCBC ketika itu mendakwa Sarawak Cable gagal mendapatkan kelulusan pemiutang terhadap cadangan skim pengaturan melibatkan Universal Cable dan LCIB sebelum tarikh akhir pada 26 September 2023.
Mahkamah kemudiannya melantik Khoo dan Goh sebagai pelikuidasi bersama bagi kedua-dua syarikat tersebut.
Sepanjang tempoh penggulungan, pelikuidasi berdepan beberapa cabaran termasuk memastikan sokongan pelanggan dan pembekal terus kukuh, mengekalkan semangat kakitangan serta menguruskan keperluan modal kerja.
Keadaan turut menjadi lebih rumit apabila syarikat induk Leader Cable memfailkan saman terhadap pihak pelikuidasi.
Bagaimanapun, Deloitte Malaysia berkata tindakan undang-undang itu berjaya dipertahankan oleh pelikuidasi sebelum dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 4 November 2025.
Pertikaian dengan Sarawak Cable
Hubungan antara Sarawak Cable dan pihak pelikuidasi sebelum ini turut menjadi perhatian apabila syarikat itu pada Mei 2025 menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelikuidasi berhubung dakwaan kecuaian sengaja dan salah laku dalam pengendalian aset LCIB.
Namun, pemegang saham terbesar Sarawak Cable ketika itu, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, dilaporkan menjauhkan diri daripada cadangan tindakan berkenaan dengan menyatakan beliau tidak mengetahui mengenai keputusan untuk memulakan prosiding undang-undang dan tidak menyokong langkah tersebut.
Sarawak Cable kemudiannya mempertikaikan kenyataan itu dengan menegaskan bahawa lembaga pengarah telah membincangkan perkara berkenaan dan keputusan tersebut direkodkan secara rasmi.
Syarikat itu akhirnya dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia selepas rayuannya untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mengemukakan pelan regularisasi ditolak. - DagangNews.com








