KUALA LUMPUR 4 Julai – LB Aluminium Bhd membeli tanah seluas 2.73 hektar bersama bangunan berharga RM22 juta di Banting, Selangor bagi tujuan perluasan jangka panjang.
Kumpulan itu berkata, pembelian dibuat daripada Lucksoon Coatings Sdn Bhd dan melibatkan perjanjian kontra bagi menyelesaikan hutang tertunggak RM4.01 juta milik Lucksoon Metal Works Sdn Bhd, menggunakan sebahagian daripada harga belian.
LB Aluminium berkata, tanah tersebut mempunyai potensi kenaikan nilai berikutan lokasinya yang strategik berhampiran Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta akses mudah melalui lebuh raya utama.
"Pengambilalihan akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman bank," kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
LB Aluminium turut merancang untuk menyewakan semula hartanah itu kepada Lucksoon Metal selama tiga tahun bagi membolehkan syarikat itu meneruskan operasi kerja logam dan perdagangan produk logam.- DagangNews.com








