Laporan RCI Tabung Haji didedahkan kepada umum hari ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Laporan RCI Tabung Haji didedahkan kepada umum hari ini

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kabinet bersetuju untuk menyahklasifikasikan dan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH), dengan agensi penguatkuasaan akan memulakan siasatan lanjut serta-merta berdasarkan penemuan dalam laporan berkenaan.

 

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH dan meneliti laporan RCI yang meliputi tempoh 2014 hingga 2020.

 

Menurut beliau, laporan tersebut akan didedahkan kepada umum hari ini sebelum dibentangkan untuk perbahasan dalam sidang khas Dewan Rakyat yang akan diadakan dalam masa terdekat.

 

"Agensi penguatkuasaan akan meneruskan siasatan berdasarkan penemuan dalam laporan RCI dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

 

Kabinet turut mengambil maklum bahawa laporan RCI itu mengandungi 25 syor bagi menambah baik operasi TH, dengan kira-kira 75% daripada syor tersebut telah dilaksanakan oleh pengurusan semasa.

 

Menurut Fahmi, pelaksanaan sebahagian besar syor berkenaan mencerminkan komitmen pengurusan TH dalam memperkukuh tadbir urus, kecekapan operasi serta pengurusan institusi itu.

 

Kabinet turut mengambil maklum prestasi kewangan TH yang bertambah baik apabila institusi itu mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5% bagi tahun kewangan 2025.

 

Menurut kerajaan, kadar agihan tersebut mencerminkan peningkatan dalam pengurusan dana TH serta keberkesanan langkah-langkah penambahbaikan yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu. - DagangNews.com