KUALA LUMPUR 8 Julai — Kejayaan NexG Berhad memperoleh lanjutan kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuktikan keupayaan syarikat itu dalam pelbagai projek kritikal, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kemenangan terbaharu kumpulan berkenaan semalam juga adalah dalam jangkaan dan menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan NexG melaksanakan projek tersebut.
Kontrak selama enam bulan yang diterima itu melibatkan perkhidmatan penyelenggaraan serta bekalan komprehensif berkaitan kad pengenalan serta pasport Malaysia dengan nilai keseluruhan RM45.5 juta.
"Kami berasa positif mengenai penyambungan semula kontrak itu yang berkuat kuasa dari 1 Disember 2025 sehingga 31 Mei 2026 serta merupakan lanjutan kali keempat," kata RHB Research dalam notanya.
NexG katanya, turut menyediakan penyelenggaraan pusat pemperibadian kad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan lanjutan selama 14 bulan dan tambahan siling kontrak sebanyak RM15.86 juta.
Artikel berkaitan: NexG raih lanjutan kontrak KDN bagi penyelenggaraan, bekalan bahan mentah IC dan pasport
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, lanjutan tersebut tidak melibatkan sebarang perubahan kepada nilai siling kontrak dan tidak mendedahkan nilai lanjutan berkenaan.
Mengulas lanjut, RHB Research berkata, kemenangan kontrak itu adalah dalam andaian penambahan tempahan dan sepatutnya menyokong prospek pendapatan NexG untuk permintaan kukuh yang berterusan.
"Kami menyukai kumpulan ini kerana kekuatan daya saingnya dalam rumusan khusus, hasil yang sihat, penjanaan aliran tunai kukuh dan potensi peningkatan kejayaan projek baharu kemudian," tambahnya.
Pada masa sama, firma berkenaan memahami cadangan untuk versi yang dipertingkatkan bagi rumusan pasport tersebut dan sistem pencetakan baharu masih dinilai untuk kontrak jangka panjang pula.
Berdasarkan perkembangan positif itu, RHB Research mengekalkan ramalan perolehan NexG dengan saranan tidak berubah kepada 'beli' serta harga sasaran iaitu 48 sen sesaham. - DagangNews.com








