Langkah kerajaan naikkan ambang pendaftaran SST kepada RM1 juta legakan PMKS - Persatuan SME | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah kerajaan naikkan ambang pendaftaran SST kepada RM1 juta legakan PMKS - Persatuan SME

KUALA LUMPUR 30 Jun - Langkah kerajaan menaikkan ambang pendaftaran cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada RM1 juta, dilihat memberi sedikit kelegaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), walaupun golongan itu masih berdepan pelbagai cabaran.

 

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia), Chin Chee Seong berkata, langkah tersebut dapat membantu mengurangkan sedikit tekanan kos, terutama kepada pemilik dan penyewa premis kecil yang kini bergelut dalam keadaan ekonomi yang sukar.

 

Beliau bagaimanapun menjelaskan, masih ramai usahawan kecil yang menyewa daripada pemilik bangunan komersial besar terpaksa menanggung cukai perkhidmatan 8 peratus. 

 

Ini terus membebankan mereka yang sudah pun berdepan kos tinggi, margin keuntungan yang kecil dan jualan yang perlahan.

 

"Cukai ini tetap memberi kesan kepada perniagaan kecil, yang kini sedang berjuang menghadapi tekanan inflasi dan permintaan pengguna yang lemah," katanya kepada Business Times.

 

Menurut Chee Seong, kenaikan ambang pendaftaran berkenaan tidak akan menjejaskan hasil cukai kerajaan dengan ketara kerana ia hanya melibatkan kumpulan penyedia perkhidmatan kecil.

 

Beliau memberi amaran, jika beban cukai terhadap PMKS tidak dikurangkan, ia boleh menyebabkan kesan ekonomi yang serius seperti penutupan perniagaan, kehilangan pekerjaan dan kenaikan harga barang. 

 

Keadaan itu katanya, mungkin lebih buruk berbanding hasil cukai jangka pendek yang dikutip kerajaan.

 

Beliau turut menegaskan, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada daya tahan ekonomi jangka panjang, memandangkan lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bergantung kepada perbelanjaan dalam negara dan aktiviti PMKS.

 

Chee Seong juga menyambut baik pengecualian cukai jualan ke atas buah-buahan import tertentu seperti limau mandarin dan kurma. 

 

Katanya, langkah tersebut dapat membantu menstabilkan harga semasa musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan, sekali gus meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Namun, beliau menjelaskan, kesannya terhadap inflasi secara keseluruhan adalah kecil kerana buah-buahan hanya sebahagian kecil daripada perbelanjaan harian rakyat.

 

"Jika isu kos yang lebih besar seperti SST 8 peratus ke atas sewaan premis komersial, kos logistik tinggi dan harga barang yang terus naik tidak ditangani, pengecualian ini tidak cukup untuk mengawal inflasi.

 

"Ia langkah simbolik yang baik, tetapi kerajaan perlu ada pelan yang lebih menyeluruh untuk mengawal kos sara hidup dan mengalakkan perbelanjaan pengguna," ujarnya.

 

Chee Seong menyifatkan semakan semula SST, termasuk pengecualian cukai ke atas perkhidmatan kecantikan dan peningkatan ambang pendaftaran sebagai petanda kerajaan mula memberi perhatian kepada maklum balas rakyat dan industri.

 

Menurutnya, langkah kerajaan itu menunjukkan dasar cukai yang lebih bersasar dan adil, tidak lagi menggunakan pendekatan sama rata kepada semua pihak.

 

Namun, beliau mengkritik cara kerajaan yang dilihat hanya bertindak selepas menerima bantahan, bukannya berdasarkan kajian ekonomi menyeluruh atau perbincangan awal dengan pihak berkaitan.

 

Beliau juga mengingatkan, perubahan dasar cukai yang dibuat secara berperingkat boleh menyebabkan kekeliruan, membuka ruang kepada kelemahan sistem dan menyukarkan urusan pentadbiran cukai.

 

"Untuk membina kepercayaan dan memastikan sistem lebih adil, kerajaan perlu ada strategi cukai jangka panjang yang jelas, berdasarkan data sebenar dan pandangan semua pihak terlibat.

 

"Satu sistem yang lebih teratur termasuk pertimbangan semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan rebat cukai input, mungkin lebih adil dan mampan dalam jangka panjang," jelasnya.

 

Pada 27 Jun lalu, kerajaan mengumumkan beberapa perubahan dalam sistem SST selepas mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai dan pihak industri.

 

Antara perubahan itu termasuk pengecualian cukai jualan ke atas buah-buahan import tertentu, mengekalkan pengecualian ke atas barangan asas seperti beras dan ikan tempatan, serta menaikkan ambang pendaftaran cukai perkhidmatan kepada RM1 juta bagi sektor tertentu.

 

Kerajaan juga membatalkan cadangan untuk mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan kecantikan dan dandanan diri seperti rawatan wajah, potongan rambut dan penjagaan kuku. - DagangNews.com