KUALA LUMPUR 13 Mei - Langkah pemotongan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada minggu lalu memberi ruang kepada Jawatankuasa Dasar Monetari untuk menilai kesan kejutan tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport, menurut Moody’s Analytics.
Ahli ekonomi Moody’s Analytics, Sunny Nguyen berkata, langkah itu juga memberi masa kepada bank pusat untuk menentukan sama ada lonjakan inflasi yang didorong subsidi baru-baru ini hanyalah bersifat sementara dan, yang paling penting, untuk menilai langkah seterusnya oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
“SRR yang lebih rendah membolehkan bank meningkatkan pinjaman, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan ketersediaan kredit.
"Suntikan mudah tunai ini ibarat melonggarkan tali leher sebelum menukar baju,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), Sunny menjangkakan BNM akan mengekalkannya pada kadar 3.00 peratus sehingga Ogos 2025.
Beliau berkata, berdasarkan corak sebelum ini, BNM biasanya memulakan pelonggaran dasar dengan memotong SRR terlebih dahulu, diikuti dengan pengurangan kadar faedah apabila data mengesahkan kelembapan dan kebimbangan terhadap inflasi.
“Strategi ini mengurangkan tekanan ke atas ringgit dengan memberi kelegaan segera kepada bank, sambil meyakinkan pelabur asing bahawa jurang hasil antara Malaysia dan AS tidak akan mengecil terlalu cepat,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan kemungkinan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada September 2025, bergantung kepada indeks harga pengguna utama (CPI), yang dijangka meningkat apabila subsidi bahan api RON95 ditarik secara beransur-ansur.
Namun begitu, inflasi mesti kekal meyakinkan di bawah tiga peratus tahun ke tahun, selari dengan jangkaan Rizab Persekutuan AS akan memulakan kitaran pelonggaran semula — sesuatu yang pasaran hadapan kini secara berhati-hati menjangkakan akan bermula pada September 2025.
“Jika Fed bertindak dahulu, tekanan terhadap ringgit akan berkurang, memberi ruang kepada BNM untuk melonggarkan dasar tanpa perlu bimbang terhadap kesan mendadak ke atas mata wang tempatan,” katanya.
Sunny berkata, kadar faedah Fed yang lebih rendah juga akan memberi kesan kepada pertumbuhan Malaysia dan pembiayaan global yang lebih murah akan membantu mengurangkan kesan tarif terhadap sektor elektronik Malaysia yang bergantung kepada eksport, serta meringankan beban pelunasan hutang korporat era pandemik.
“Bagi prospek lebih luas, kami menjangkakan kedua-dua bank pusat akan menurunkan kadar faedah pada September 2025. Pertumbuhan sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka perlahan kepada sekitar 4% berbanding 5% pada 2024 dan diunjurkan sebanyak 3.9% pada 2026.
“Permintaan domestik akan terus menjadi pemacu utama ekonomi, disokong oleh kenaikan gaji penjawat awam dan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya. - DagangNews.com








