KUALA LUMPUR 19 Mei – LAC Med Berhad sedang membida projek bernilai RM690.9 juta setakat 30 April 2026, mencerminkan peningkatan aktiviti tender dalam sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia yang terus berkembang pesat.
Syarikat penyedia penyelesaian teknologi perubatan (MedTech) itu berkata nilai tender tersebut membuka peluang besar untuk kumpulan memperkukuh kedudukan pasaran serta meningkatkan potensi penukaran tender kepada jualan pada masa hadapan.
LAC Med berkata kedudukannya sebagai antara pemain utama industri dengan liputan 58% hospital di Malaysia serta lebih 2,600 unit peralatan perubatan yang telah dipasang di seluruh negara memberi kelebihan kompetitif yang kukuh.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Liew Yoon Poh berkata kumpulan akan memanfaatkan kedudukan peneraju pasaran bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan klinikal dan memperkukuh keupayaan penjagaan kesihatan domestik.
Beliau berkata usaha itu turut menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai pendapatan pelancongan perubatan sebanyak RM7 bilion menjelang 2030 dalam usaha menjadikan negara sebagai hab kesihatan serantau.
“Walaupun persekitaran global masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan kumpulan kekal sihat merentasi segmen utama.
“Keadaan itu disokong oleh asas pemasangan yang semakin berkembang, hubungan pelanggan berulang, buku tempahan yang meningkat serta portfolio penyelesaian penjagaan kesihatan bersepadu yang semakin meluas.
“Pada masa sama, kami terus memperkukuh kualiti pendapatan dengan mengembangkan aliran hasil berulang selain perkhidmatan penyelenggaraan, sokongan teknikal dan penyelesaian digital kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat 30 April 2026, kumpulan memiliki buku tempahan berjumlah RM199 juta yang memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh kewangan akan datang.
LAC Med juga mengamalkan dasar dividen untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan bersih tahunan kepada pemegang saham.
Pada 9 April 2026, kumpulan mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 0.65 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), dengan jumlah pembayaran dianggarkan RM2.6 juta.
Tarikh ex-dividen ditetapkan pada 26 Mei 2026 manakala tarikh pembayaran pada 15 Jun 2026, menjadikan ia pembayaran dividen pertama selepas penyenaraian syarikat di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Disember 2025.
Sebelum itu, kumpulan turut membayar dividen interim sebanyak RM5 juta pada 28 Julai 2025, menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran dividen RM7.6 juta atau 35.2% daripada keuntungan bersih FY2025 sebanyak RM21.9 juta.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, LAC Med merekodkan hasil sebanyak RM29.4 juta dengan keuntungan bersih RM1 juta, disokong oleh segmen pembekalan peralatan perubatan RM11.4 juta, produk dan perkhidmatan berkaitan RM7.2 juta, serta integrasi peranti perubatan RM10.8 juta.
Bagaimanapun, tiada perbandingan dibuat dengan suku tahun sama tahun sebelumnya memandangkan LAC Med hanya disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Disember 2025.
Antara jenama antarabangsa yang menjadi rakan strategik kumpulan termasuk Samsung, Philips, Stryker, LG, Epson, SwiftMR, Abbott, annalise.ai, Alpinion, Baxter dan Bayer.
Ke hadapan, LAC Med berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada projek teknologi perubatan bersepadu, pengembangan produk berasaskan penggunaan berulang, perkhidmatan penyelenggaraan serta penyelesaian kesihatan digital bagi memperkukuh daya tahan operasi dan pertumbuhan jangka panjang yang mampan. - DagangNews.com








