Kyndryl, LifeTech lancar Pusat Operasi Keselamatan Siber di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kyndryl, LifeTech lancar Pusat Operasi Keselamatan Siber di Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Mac - Penyedia kemudahan IT terbesar dunia, Kyndryl mengumumkan kerjasama dengan LifeTech Group bagi menubuhkan Pusat Operasi Keselamatan (SOC) dalam negara yang pertama pada awan awam di Malaysia. 

 

LifeTech melantik Kyndryl untuk menyokong SOC generasi baharunya, yang membolehkan syarikat-syarikat di seluruh Malaysia mengekalkan data secara selamat dalam negara pada awan awam, sambil mengurangkan kos operasi keselamatan sehingga 40%. 

 

Kerjasama itu membantu LifeTech memperbaiki kemampuan keselamatan siber untuk membantu pelanggan menilai sejauh mana perlindungan siber mereka, menangani ancaman baharu, memahami kelemahan keselamatan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia mengenai penyimpanan data.

 

Sejak 1989, LifeTech menjadi peneraju dalam Perkhidmatan Keselamatan Siber Terurus (MSS) di Malaysia, menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai industri di rantau ini, termasuk perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, kerajaan, pembuatan, e-dagang, runcit, telekomunikasi dan pendidikan. 

 

Selain projek peralihan SOC, Kyndryl turut bekerjasama dengan LifeTech bagi menyediakan perkhidmatan keselamatan siber yang penting seperti risikan ancaman, tindak balas insiden, serta pengesanan dan tindak balas terurus.

 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LifeTech Group, Dato KK Loh berkata, kerjasama dengan Kyndryl adalah langkah penting dalam meningkatkan keupayaannya untuk melindungi organisasi di Malaysia, sambil mengekalkan data kritikal mereka dalam negara.

 

"Dengan menaik taraf SOC kami menggunakan platform bersepadu generasi baharu, kami memberi kuasa kepada pelanggan dari pelbagai industri termasuk Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara, untuk memperkukuhkan daya tahan siber mereka.

 

"Ia memastikan pelanggan bertindak balas dengan pantas terhadap ancaman dan mengendalikan landskap keselamatan yang semakin kompleks dengan yakin, sambil mengurangkan kos dengan ketara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menerusi kerjasama berkenaan, LifeTech dan Kyndryl bakal melaksanakan platform SOC generasi baharu yang bertaraf dunia, dengan menerapkan rangka kerja Perisikan dan Automasi Keselamatan Kyndryl bagi meningkatkan kecekapan pengesanan, tindak balas, dan kecekapan operasi bagi organisasi-organisasi di Malaysia serta rantau ini.

 

Program peralihan operasi keselamatan bersama Kyndryl merangkumi pemindahan dan penyatuan platform pelanggan serta risikan ancaman untuk membolehkan pemantauan yang lebih kuat, automasi dan analisis dalam satu platform.

 

Ia juga membolehkan pengguna beralih dari operasi keselamatan asas kepada kemampuan yang lebih canggih, seperti merancang langkah mengurangkan risiko secara proaktif, mengurus persepsi, meningkatkan kemahiran dan penambahbaikan berterusan.

 

Selain itu, SOC menggunakan pendekatan menyeluruh untuk menangani ancaman siber, dengan memberi perkhidmatan terbaik dalam penilaian risiko, pematuhan dan ketelusan terhadap ancaman.

 

Perkhidmatan tersebut turut menyediakan perkhidmatan 'Zero Trust' untuk melindungi aset penting perniagaan melalui rumusan keselamatan identiti, titik akhir (endpoint) dan awan.

 

Pengarah Urusan Kyndryl Malaysia dan Indonesia, Effendi Azmi Hashim pula berkata, kerjasama itu mencerminkan visi untuk menyediakan rumusan keselamatan siber yang inovatif, berskala dan berdaya tahan, demi membantu pelanggan LifeTech dan Kyndryl melindungi data dan aplikasi perniagaan kritikal, dalam kemudahan keselamatan yang teguh melalui penggunaan awan tempatan.

 

"Kerjasama ini menekankan penerapan piawaian keselamatan global yang inovatif serta platform keselamatan canggih pada awan awam, membolehkan LifeTech menyediakan operasi keselamatan yang proaktif, cekap dan kukuh pada skala lebih besar. 

 

"Inisiatif bersama Kyndryl ini adalah satu langkah penting dalam menangani cabaran keselamatan siber yang dinamik dan kompleks di Malaysia," katanya. - DagangNews.com