KWSP yakin MAHB kembali disenaraikan semula pada harga lebih tinggi - Menteri Kewangan II | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP yakin MAHB kembali disenaraikan semula pada harga lebih tinggi - Menteri Kewangan II

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - Penglibatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam pembelian saham Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) adalah selepas mengambil kira aspek penciptaan nilai yang lebih strategik dan strategi baharu dan pelan pemulihan MAHB.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, strategi itu juga akan memastikan MAHB berada di landasan tepat untuk disenaraikan semula pada harga yang lebih tinggi dan ia hanya boleh dicapai melalui transformasi operasi kumpulan itu.

 

Beliau berkata, sejurus penyahsenaraian ini selesai Konsortium GDA akan memberi sepenuh perhatian bagi meningkatkan infrastruktur, ketersambungan serta pengalaman penumpang.

 

 

Mungkin secara kasarnya, perkara-perkara ini seperti tidak memainkan peranan penting kepada pemulihan MAHB tetapi sebenarnya, perubahan inilah yang menjadi asas kepada transformasi strategik MAHB. 

 

Katanya, dalam meningkatkan pelaburan dan menambah baik pengalaman penumpang rakyat dan pelancong, usaha tidak hanya tertumpu kepada lapangan terbang antarabangsa utama seperti KLIA, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu tetapi juga akan dilaksanakan penambahbaikan di lapangan terbang lain antaranya di Tawau, Kota Bharu dan Ipoh. 

 

"Apa yang perlu ditegaskan di sini ialah penilaian dan perbincangan bagi tawaran am atau VGO hanya bermula pada Julai 2023 dan pengurus dana di Jabatan Ekuiti Awam KWSP tidak mempunyai sebarang maklumat atau akses kepada maklumat berhubung tawaran ke atas MAHB ini.

 

"Tawaran sukarela oleh Konsortium GDA yang dianggotai KWSP untuk mengambil alih semua saham MAHB yang belum dimiliki pada harga RM11 setiap saham pula merupakan pelaburan baharu jangka panjang KWSP," katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini. 

 

GDA ialah sebuah konsortium yang terdiri daripada Khazanah Nasional Bhd, KWSP, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan Rakan Kongsi Infrastruktur Global (GIP) BlackRock.

 

Amir Hamzah berkata, pada 2023, prestasi saham MAHB mengatasi prestasi FBMKLCI sebanyak 11.47% sekali gus menyediakan peluang bagi KWSP untuk merekodkan keuntungan daripada penjualan pegangan sahamnya dalam MAHB.

 

Beliau berkata, keuntungan ini secara langsung menyumbang kepada jumlah pendapatan pelaburan bersih RM63.48 bilion yang direkodkan pada 2023.

 

"Jabatan Ekuiti Awam KWSP mula menjual pegangan KWSP dalam MAHB bermula Januari 2023 di mana ketika itu KWSP memegang 15.5% pegangan saham dalam MAHB untuk merealisasikan peluang keuntungan yang tercipta daripada harga pasaran saham MAHB, yang pada ketika itu mengatasi prestasi indeks komposit FBMKLCI.

 

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, KWSP mengamalkan proses tadbir urus yang tegas melalui protokolperintang maklumat atau dikenali sebagai Chinese Wall yang merupakan amalan piawaian standard dalam kalangan GLIC dan institusi kewangan.

 

Katanya, di bawah protokol perintang maklumat, Jabatan Pelaburan Strategik (JPS) yang bertanggungjawab ke atas VGO MAHB ini adalah dilarang sama sekali daripada berkongsi maklumat sensitif dan bukan umum kepada Jabatan Ekuiti (IP).

 

"Protokol ini memastikan pemisahan maklumat agar tidak berlaku sebarang percanggahan kepentingan yang boleh membawa risiko berlakunya “insider trading” yang merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

 

"Protokol perintang maklumat tidak sewajarnya diperlekehkan kerana ianya merupakan langkah kawalan penting sebagai pertahanan terhadap “insider trading” seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 190, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

 

"Kesalahan insider trading ini merupakan satu kesalahan jenayah yang jika disabitkan boleh membawa kepada hukuman mandatori penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta," katanya.- DagangNews.com