KUALA LUMPUR 11 Mei – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh keselamatan persaraan ahli merentas generasi menerusi pelancaran i-Legasi, i-Emas serta Kalkulator Matlamat Persaraan dalam usaha memastikan simpanan persaraan lebih mampan, mencukupi dan berdaya tahan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, perubahan ini mencerminkan peralihan pendekatan perancangan persaraan daripada sekadar mengumpulkan simpanan kepada penekanan terhadap kecukupan pendapatan selepas bersara serta kelestarian kewangan sepanjang hayat.
“Dengan jangka hayat yang semakin meningkat, perancangan persaraan perlu melangkaui sekadar simpanan. Ia perlu memberi fokus kepada kecukupan dan bagaimana simpanan tersebut dapat bertahan sepanjang tempoh persaraan,” katanya.
i-Legasi Untuk Pemindahan Simpanan Kepada Keluarga
Melalui i-Legasi, ahli KWSP berumur 55 atau 60 tahun ke atas dibenarkan memindahkan sebahagian lebihan simpanan persaraan kepada ahli keluarga terdekat seperti pasangan atau anak.
Pemindahan ini melibatkan dana yang tersedia untuk pengeluaran daripada Akaun 55 bagi ahli di bawah 60 tahun atau Akaun Emas bagi ahli berumur 60 tahun ke atas.
Dana tersebut akan dikreditkan ke dalam Akaun Persaraan atau Akaun Emas penerima, bergantung kepada umur penerima.
Langkah ini bertujuan memastikan simpanan yang dipindahkan kekal dalam sistem KWSP dan terus digunakan sebagai simpanan persaraan jangka panjang, sekali gus membantu mengekalkan disiplin kewangan dalam kalangan generasi penerima.
Bagaimanapun, hanya simpanan yang melebihi tahap kecukupan persaraan layak dipindahkan bagi memastikan keperluan asas persaraan ahli asal masih terjamin.
i-Emas Galak Pengeluaran Berstruktur
Sementara itu, skim pengeluaran bulanan selepas umur 55 atau 60 tahun kini dijenamakan semula sebagai i-Emas, yang sebelum ini dikenali sebagai pengeluaran umur 55/60 tahun.
Melalui i-Emas, ahli digalakkan untuk membuat pengeluaran secara bulanan berbanding pengeluaran sekaligus.
Pendekatan ini bertujuan membantu pesara mengurus aliran tunai dengan lebih berdisiplin di samping memastikan simpanan kekal berkembang melalui pulangan dividen tahunan KWSP.
Kalkulator Matlamat Persaraan Bantu Perancangan Kewangan
Dalam masa sama, KWSP turut melancarkan Kalkulator Matlamat Persaraan yang boleh diakses melalui aplikasi KWSP i-Akaun.
Alat digital ini membolehkan ahli menganggarkan keperluan kewangan selepas bersara berdasarkan gaya hidup yang diingini, mengenal pasti jurang simpanan serta merancang strategi penambahan simpanan dengan lebih berkesan.
Sokong Sistem Persaraan Lebih Holistik
Beliau berkata, ketiga-tiga inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha membina sistem persaraan yang lebih holistik, bukan sahaja tertumpu kepada individu tetapi turut merangkumi kesejahteraan kewangan keluarga dan generasi akan datang.
“Matlamat kami adalah untuk membantu ahli bersara dengan lebih yakin dan bermaruah melalui sistem yang menyokong perancangan lebih menyeluruh serta berdaya tahan,” kata Ahmad Zulqarnain.
Inisiatif ini dijangka memperkukuh literasi kewangan serta meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan perancangan persaraan awal dan berstruktur. - DagangNews.com








