KWAP peruntuk RM6 bilion kepada 12 rakan kongsi global di bawah Dana Pemacu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWAP peruntuk RM6 bilion kepada 12 rakan kongsi global di bawah Dana Pemacu

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 30 Jun - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menyenarai pendek 12 rakan kongsi am (GP) global dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion di bawah Dana Pemacu yang melibatkan dana konvensional dan patuh syariah. 

 

Dana itu akan disalurkan ke dalam tiga kelas aset utama iaitu pelaburan persendirian, infrastruktur, dan hartanah.

 

Inisiatif itu memberi fokus kepada sektor utama negara seperti sekuriti makanan, pendidikan, ekonomi warga emas, penjagaan kesihatan, peralihan tenaga, ekonomi digital, dan akses kewangan, selaras dengan pelan Ekonomi Madani. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, lebih 40 penyertaan diterima sejak Dana Pemacu dilancarkan, dan 12 GP ini dipilih melalui proses penilaian dan ketekunan wajar yang ketat berdasarkan prestasi dan rekod pengurusan pelaburan mereka.

 

"Sebahagian besar dana akan dilaburkan di Malaysia dan dalam pelaburan patuh Syariah, manakala selebihnya akan disalurkan ke pasaran antarabangsa sebagai langkah kepelbagaian bagi menjana pulangan mampan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dana Pemacu yang dilancarkan pada Mei 2024 berperanan mendorong kepada transformasi ekonomi negara melalui pelaburan berimpak tinggi yang selari dengan keutamaan nasional.

 

Menerusi model pelaburan Co-GP, pengurus pelaburan global digandingkan dengan bakat tempatan bagi mengukuhkan pasaran swasta domestik dan membawa kepakaran antarabangsa ke dalam pasaran Malaysia.

 

Empat GP terpilih ialah Investcorp, Navis Capital Partners, Nexus Point dan The Vistria Group, manakala bagi infrastruktur ialah Climate Fund Managers, DigitalBridge, I Squared Capital dan Seraya Partners. 

 

Bagi segmen hartanah pula, KWAP memilih Castleforge Partners, Lendlease Investment Management, Savills Investment Management, dan TrustCapital Advisors.

 

Semua GP antarabangsa telah memuktamadkan pemilihan rakan tempatan masing-masing dan kini dalam proses mendapatkan kelulusan kawal selia.- DagangNews.com