KUALA LUMPUR 28 Feb - Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) mencatat keuntungan bersih RM73.1 juta pada tahun fiskal berakhir 31 Disember 2024 berbanding RM1.4 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
KPS berkata, untung bersih kumpulan didorong oleh hasil penjualan 50% pegangan ekuitinya dalam Kaiserkorp Corporation Sdn Bhd pada Mac 2024.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu melaporkan hasil naik sebanyak 1.8%, mencecah lebih RM1 juta.
Pada suku keempat 2024 (4Q24), KPS merekodkan keputusan sebanyak RM274.6 juta, mencerminkan prestasi segmen yang lebih optimis di seluruh anak syarikatnya walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar.
Katanya, menyumbang 84.6% kepada hasil kumpulan, perniagaan pembuatan, yang terdiri daripada Toyoplas Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd, CPI (Pulau Pinang) Sdn Bhd , MDS Advance Sdn Bhd dan Century Bond Bhd (CBB), mencatat hasil RM232.2 juta pada suku tersebut.
"Toyoplas kekal sebagai penyumbang tertinggi kepada kumpulan. Hasilnya meningkat sebanyak RM13.4 juta kepada RM119.1 juta berbanding suku yang sama tahun lepas.
"Ini dibantu oleh jualan yang lebih baik daripada segmen elektronik pengguna, disokong oleh projek pemasangan baharu yang diperoleh pada 2024.
"Perolehan CPI juga meningkat sebanyak RM4.9 juta kepada RM55.4 juta disokong oleh jualan yang bertambah baik merentasi semua segmen perniagaan kecuali segmen komunikasi dan teknologi maklumat dan automotive," katanya.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Fariz Hassan berkata, keputusan kewangan pada 2024 mencerminkan tumpuan kumpulan yang kukuh untuk mengoptimumkan operasi perniagaan kami dan pendekatan berdisiplin terhadap pengurusan modal.
"Walaupun kami berpuas hati dengan keuntungan kami, kami menyedari keperluan untuk mengukuhkan prestasi operasi teras dengan menyelaraskan semula perniagaan kami dengan permintaan pasaran yang berkembang.
"Kami kekal komited untuk mengemudi persekitaran semasa dengan aspirasi yang berdaya tahan dan strategi jangka panjang, meletakkan kami dengan baik untuk menangkap peluang apabila dinamik perniagaan menjadi stabil," katanya. - DagangNews.com








