KUALA LUMPUR 25 Mac – Kumpulan Kitacon Berhad melalui anak syarikat miliknya, Kitacon Sdn. Bhd memperoleh kontrak bernilai RM99.28 juta daripada ParkCity Botanika Sdn. Bhd bagi kerja-kerja pembinaan bangunan utama dan bangunan tambahan di Cyberjaya, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan Kitacon berkata projek tersebut melibatkan pembinaan 128 unit rumah teres strata tiga tingkat, 19 unit rumah teres strata berserta tempat letak kenderaan berbumbung, sebuah pondok pengawal, satu pencawang elektrik serta ruang kemudahan.
“Lokasi projek adalah di PT 462, Mukim Bandar Cyberjaya, Daerah Sepang, Selangor.
“Kerja-kerja kontrak dijadualkan bermula pada 2 Mei 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dari tarikh mula.
“Kitacon Sdn. Bhd akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelaksanaan projek tersebut, termasuk kerja-kerja tambahan dan penyediaan kemudahan yang diperlukan,” katanya dalam makluman tersebut.
Lembaga Pengarah Kumpulan Kitacon Berhad menjelaskan kontrak ini dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan syarikat serta aset bersih per saham dari tahun kewangan 2026 sehingga tamat kontrak.
“Kontrak ini tidak akan menjejaskan struktur pemilikan saham Kumpulan Kitacon Berhad dan pemegang sahamnya.
“Projek ini merupakan langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan Kumpulan Kitacon dalam sektor pembinaan perumahan di kawasan strategik seperti Cyberjaya,” katanya.
Bagaimanapun, pengurusan syarikat mengakui wujud beberapa risiko yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek, termasuk perubahan dalam ekonomi, politik dan peraturan, selain risiko operasi seperti kelewatan siap projek, kekurangan bahan binaan dan tenaga kerja mahir.
Bagi mengurangkan risiko tersebut, Kumpulan Kitacon Berhad berkata ia akan mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan projek berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
Pengumuman itu juga menyatakan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau orang berkaitan yang mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak ini.
Dengan penerimaan kontrak ini, Kumpulan Kitacon Berhad dijangka terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor pembinaan berstrata, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan syarikat dan keuntungan jangka panjang bagi para pelabur. - DagangNews.com








