Krisis tenaga global berlarutan semakin menekan kedudukan fiskal negara – Akmal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Krisis tenaga global berlarutan semakin menekan kedudukan fiskal negara – Akmal

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Mei - Pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku pertama 2026 dijangka lebih baik daripada anggaran awal walaupun kerajaan mengakui krisis tenaga global yang berpanjangan semakin memberi tekanan terhadap kedudukan fiskal negara untuk mengekalkan subsidi bahan api.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, anggaran awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini dibuat secara konservatif berikutan ketidaktentuan geopolitik dan krisis tenaga global.

 

“Anggaran awal kami memang agak konservatif kerana mengambil kira situasi semasa, namun saya menjangkakan pertumbuhan suku pertama tidak jauh daripada unjuran dan mungkin lebih baik daripada anggaran awal,” katanya kepada pemberita hari ini.

 

Akmal

 

Bulan lalu, DOSM melaporkan anggaran awal KDNK Malaysia berkembang 5.3% bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, lebih perlahan berbanding 6.3% pada suku keempat 2025.

 

Angka itu juga lebih rendah daripada jangkaan median 5.5% dalam tinjauan Bloomberg. Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan data rasmi KDNK suku pertama pada Jumaat ini.

 

Dalam pada itu, Akmal berkata kerajaan sedang memantau rapi kesan krisis global terhadap bekalan bahan api, inflasi dan kemampanan fiskal negara.

 

Beliau mengakui ruang fiskal kerajaan semakin mengecil selagi konflik global dan tekanan harga tenaga berterusan.

 

“Semakin lama krisis ini berlanjutan, semakin sempit ruang fiskal yang kita ada,” katanya ketika ditanya mengenai kemampuan kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.

 

Akmal berkata kerajaan perlu mengimbangi keperluan mengekalkan kestabilan harga dan perlindungan rakyat dengan kos fiskal yang semakin tinggi.

 

Beliau turut memaklumkan kerajaan kini memberi fokus kepada penambahbaikan mekanisme subsidi diesel termasuk menyelarasnya dengan sistem subsidi bersasar Budi95.

 

Langkah itu bertujuan mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan akibat jurang besar antara harga subsidi dan harga pasaran.

 

“Apabila jurang harga terlalu besar, aktiviti penyeludupan dan ketirisan akan menjadi lebih ketara,” katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan belum ada keputusan muktamad dibuat sama ada kerajaan akan menaikkan harga petrol RON95 bersubsidi atau mengurangkan lagi kuota subsidi individu di bawah Budi95.

 

“Fokus kerajaan ketika ini adalah pelaksanaan mekanisme subsidi diesel terlebih dahulu,” katanya. - DagangNews.com