KPK kemuka permohonan minyak dan olein isirung sawit mentah dikecualikan SST, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPK kemuka permohonan minyak dan olein isirung sawit mentah dikecualikan SST, Parlimen diberitahu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Dalam usaha mengekalkan daya saing industri sawit, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya minyak isirung sawit mentah (crude palm kernel oil, CPKO) dan olein isirung sawit dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kini dikenakan pada kadar 5%.

 

Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata, langkah itu diambil selepas pihak kementerian meneliti maklum balas hasil sesi libat urus bersama pemain industri mengenai kesan pelaksanaan SST.

 

“Pengecualian adalah wajar kerana kedua-duanya merupakan bahan mentah dalam penghasilan produk oleokimia dan bukannya barangan siap yang tertakluk kepada cukai kerajaan.

 

“Cadangan berkaitan pengecualian atau pelepasan SST bagi beberapa perkhidmatan kritikal yang penting kepada operasi industri juga telah dipertimbangkan bagi mengurangkan tekanan kos,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH–Seputeh) berhubung impak peluasan SST terhadap industri sawit, khususnya sektor hiliran oleokimia.

 

Chan menjelaskan, usaha kementerian dalam mengekalkan daya saing industri sawit di pasaran antarabangsa termasuk pelaksanaan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pembangunan sistem keteresan (traceability) sepanjang rantaian bekalan produk sawit, serta penggunaan teknologi baharu.

 

Selain itu, kementerian turut memberi tumpuan kepada pengukuhan penyelidikan dan inovasi, pemelbagaian produk sawit bernilai tambah tinggi, serta promosi perdagangan dan diplomasi.

 

Beliau berkata, KPK masih menunggu pengesahan rasmi bertulis daripada MOF mengenai pengecualian SST tersebut, walaupun perkara itu telah dimaklumkan secara lisan pada sesi libat urus bersama Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM) dan beberapa kumpulan industri lain pada 15 Julai lalu.

 

“MOF telah memaklumkan secara lisan bahawa bahan mentah ini dikecualikan, tetapi kami masih menunggu pengesahan rasmi secara hitam putih,” jelasnya. - DagangNews.com