KUALA LUMPUR 20 Jun – KPJ Healthcare Bhd melancarkan Klinik Bergerak Waqaf An-Nur (KWAN) di perkarangan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) bagi memperluas akses kepada rawatan kesihatan mampu milik dan menyokong perkhidmatan kecemasan kepada orang awam.
Klinik bergerak tersebut menyediakan rawatan selepas waktu kerja bagi kes bukan kritikal, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.
Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan awam dan memperluas capaian rawatan kepada komuniti.
"Dengan meluaskan akses kepada penjagaan selepas waktu kerja, kami dapat membantu mengurangkan kesesakan di HSAJB sambil memberikan khidmat yang lebih berkesan kepada masyarakat.
"Ini juga merupakan kali pertama klinik bergerak KWAN beroperasi dalam persekitaran hospital awam di Johor, sekali gus mencerminkan kekuatan kerjasama kami dengan rakan kongsi kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Waqaf An-Nur Corporation Bhd, dan Pejabat Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Negeri Johor.

Turut hadir, Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Negeri, Ling Tian Soon, Pengarah JKNJ, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, Pengarah HSAJB, Dr Mohamad Nizam, serta wakil pengurusan kanan daripada KPJ Healthcare dan Waqaf An-Nur Corporation Bhd.
KWAN telah merawat lebih 2.2 juta pesakit di seluruh Malaysia merangkumi lapan klinik statik, lapan pusat dialisis dengan 192 mesin, serta sembilan unit mudah alih.
Perkhidmatan tersebut mula diperkenalkan di Johor pada 2017, kini disokong oleh dua unit mudah alih yang beroperasi secara tetap di beberapa lokasi seluruh negeri.

KWAN merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang disokong melalui sumbangan zakat dan waqaf amal, bagi menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti pada kos minimum kepada komuniti tanpa mengira bangsa, latar belakang atau agama.
Klinik bergerak itu akan beroperasi dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam, menawarkan konsultasi perubatan, ubat-ubatan asas dan sijil perubatan pada kadar subsidi setara dengan hospital kerajaan.
Ia turut dilengkapi Sistem Pengurusan Klinik digital KPJ (CMS) yang menekankan pengurusan pesakit secara cekap, selamat, dan sistematik.- DagangNews.com








