KUALA LUMPUR 19 Mei – KPJ Healthcare University (KPJU) terus meningkatkan kualiti pendidikan pembedahan, latihan kepakaran perubatan serta standard rawatan klinikal di Malaysia melalui kerjasama strategik dengan Royal College of Surgeons of England (RCS England).
KPJU, yang merupakan satu-satunya universiti penjagaan kesihatan swasta di Malaysia yang disokong oleh rangkaian 30 hospital pakar, memainkan peranan penting dalam membangunkan sistem kesihatan bersepadu di bawah KPJ Health System (KPJHS).
Sistem ini merangkumi latihan kepakaran perubatan pascasiswazah, sains kesihatan bersekutu serta rangkaian hospital pengajar yang menyokong pendidikan dan amalan klinikal secara menyeluruh.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua institusi memberi tumpuan kepada pembangunan laluan latihan pembedahan yang lebih berstruktur, peningkatan kompetensi pakar bedah, serta penyelarasan kurikulum pendidikan dan latihan dengan piawaian antarabangsa yang diiktiraf.
Ia turut membuka akses kepada kelayakan profesional bertaraf global serta memperkukuh integrasi antara pendidikan, penyelidikan dan amalan klinikal dalam sistem kesihatan KPJHS.
Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPJU dan Royal College of Surgeons of England telah dimeterai di Damansara Specialist Hospital 2, Kuala Lumpur pada 7 Mei lalu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) merangkap Pengerusi KPJ Healthcare University Sdn Bhd, Prof. (Hon.) Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, bersama Presiden Royal College of Surgeons of England, Mr Tim Mitchell.
Turut hadir ialah Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan.


Syed Mohamed yang juga Pengerusi Majlis Tadbir Urus KPJ Health System (KPJHS) berkata MoU itu mencerminkan aspirasi bersama untuk memperkukuh pendidikan pembedahan, meningkatkan standard rawatan pembedahan serta membangunkan keupayaan pakar bedah dan pasukan pembedahan di seluruh sistem KPJHS.
“Kami telah membangunkan pelan strategik dan pelan pelaksanaan bagi KPJ Health System yang dipandu oleh penyelarasan sistem kesihatan serta dipacu oleh faktor-faktor yang akan menentukan masa depan penjagaan kesihatan, termasuk kecerdasan buatan, genomik dan penjagaan berasaskan nilai.
“Aspirasi kami jelas, iaitu untuk membina satu sistem kesihatan bertaraf dunia yang menyatukan kecemerlangan klinikal, pendidikan, penyelidikan, inovasi dan kecerdasan sistem dalam satu model yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Naib Canselor KPJU, Profesor Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin yang juga Pakar Bedah Ortopedik berkata kerjasama itu memperkukuh peranan KPJU dalam membangunkan laluan pendidikan pembedahan yang berstruktur serta menyokong perkembangan pascasiswazah dan pembangunan program fellowship, di samping menyelaraskan pendidikan, latihan dan penyelidikan dengan amalan klinikal semasa serta standard antarabangsa.


Selain itu, kerjasama ini dijangka mempercepatkan penerapan hasil penyelidikan dalam amalan klinikal sebenar yang akan meningkatkan keberkesanan rawatan serta hasil kesihatan pesakit secara keseluruhan.
Ia juga menyokong pendekatan penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based care) yang menekankan kualiti, keberkesanan dan pengalaman pesakit.
KPJU turut memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau pendidikan dan penyelidikan kesihatan melalui rangkaian kerjasama antarabangsa sedia ada dengan Mayo Clinic, University College London dan University of Melbourne, selain perancangan kerjasama masa hadapan bersama Imperial College Healthcare.
Kesemua kerjasama ini menyokong pembangunan program pendidikan eksekutif, laluan fellowship berstruktur serta penyelidikan bersama, sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan perubatan bertaraf global.
Dalam jangka panjang, inisiatif ini dijangka melahirkan lebih ramai tenaga pakar tempatan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat antarabangsa, di samping memperkukuh kedudukan KPJU sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan kesihatan di rantau ini. - DagangNews.com








