KPJ Healthcare penyedia penjagaan kesihatan tempatan pertama sertai UNGC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare penyedia penjagaan kesihatan tempatan pertama sertai UNGC

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Mac - KPJ Healthcare Berhad menyertai inisiatif kemampanan korporat terbesar dunia, United Nations Global Compact (UNGC), sekali gus muncul sebagai penyedia penjagaan kesihatan tersenarai awam pertama di Malaysia yang menyertai rangkaian tersebut.

 

Langkah itu seiring dengan komitmen kumpulan terhadap penjagaan kesihatan hijau dan masa depan yang mampan.

 

Sebagai ahli UNGC, KPJ Healthcare menjadi sebahagian daripada rangkaian global lebih 25,000 syarikat di 160 negara yang komited terhadap amalan perniagaan beretika dan bertanggungjawab. 

 

Inisiatif berkenaan mengukuhkan dedikasi kumpulan terhadap 10 Prinsip UNGC yang memberi tumpuan kepada hak asasi manusia, piawaian buruh, alam sekitar dan antirasuah. 

 

Menerusi komitmen itu, KPJ Healthcare akan terus melaksanakan amalan kelestarian dalam strategi perniagaan terasnya, memastikan kesan yang bermakna di seluruh operasi dan tadbir urusnya.

 

Dilancarkan pada tahun 2000, UNGC ialah sebuah platform pelbagai pihak yang menyokong pembangunan, pelaksanaan dan pelaporan amalan perniagaan yang mampan. 

 

KPJ

 

Ia menyelaraskan perniagaan dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs), menyediakan pelan hala tuju bersama ke arah masa depan yang lebih mampan. 

 

Penyertaan KPJ Healthcare dalam UNGC menandakan komitmen yang kuat terhadap ketelusan, tanggungjawab serta kemampanan dan organisasi dikehendaki melaporkan perkembangan mereka setiap tahun.

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, penyertaan secara rasmi dalam UNGC adalah satu pencapaian yang amat dibanggakan.

 

"Sebagai penyedia penjagaan kesihatan tersenarai pertama di Malaysia yang mengambil langkah ini, kami memperkukuh peranan kami sebagai warga korporat yang bertanggungjawab

 

"Dengan menyertai UNGC, kami mengambil langkah seterusnya untuk memperkukuh usaha kami, bekerjasama dengan rakan kongsi yang sehaluan dan selaras dengan amalan terbaik global," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau dalam pada itu berkata, peranan KPJ Healthcare bukan sekadar merawat penyakit, tetapi turut merangkumi usaha mewujudkan persekitaran yang membolehkan orang ramai menjalani kehidupan lebih sihat. 

 

"Kelestarian adalah teras kepada perkara ini dan kami telah pun melaksanakan inisiatif untuk mengurangkan jejak karbon, meningkatkan kecekapan tenaga dan mengukuhkan komitmen kami terhadap ketelusan dan tadbir urus. 

 

"Dengan mengamalkan prinsip ini dalam operasi kami, kami sedang membina sistem penjagaan kesihatan yang bertanggungjawab, beretika dan mampan untuk masa depan," jelasnya.

 

Menerusi inisiatif tersebut, KPJ Healthcare akan bekerjasama secara aktif dengan ahli-ahli UNGC, rakan kongsi penjagaan kesihatan, pembuat dasar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memajukan agenda kemampanannya dalam sektor penjagaan kesihatan. 

 

Kumpulan juga akan memanfaatkan sumber dan program pendidikan UNGC untuk memacu inisiatif hospital hijau yang berimpak, memupuk amalan rantaian bekalan yang mampan dan memberi inspirasi kepada tanggungjawab alam sekitar dan sosial yang lebih luas di seluruh rangkaian hospitalnya. - DagangNews.com