KUALA LUMPUR 13 Feb - KPJ Healthcare Bhd lancarkan kempen Tahun AInnovation bagi meningkatkan integrasi kecerdasan buatan (AI) dan inovasi dalam operasinya dengan mengutamakan pesakit sebagai pemacu utama.
Semasa majlis yang sama, KPJ juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Angsana Health, sebuah organisasi bukan kerajaan bagi melancarkan aplikasi Melati.
KPJ berkata, Melati merupakan sebuah platform pengambilan sejarah perubatan dikuasai oleh AI yang direka untuk meningkatkan ketepatan diagnostik, menyelaraskan perundingan dan mengurangkan masa menunggu bagi pesakit.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, melalui sistem kesihatan KPJ, kumpulan memupuk AI dalam hospital sempena Tahun AInnovation untuk mencipta sistem penjagaan kesihatan yang lebih pintar, lebih cekap dan mengutamakan pesakit.
"AI membolehkan kami bekerja dengan lebih pantas, memberi diagnosis dengan lebih tepat dan meningkatkan akses penjagaan kesihatan sekaligus mengekalkan sentuhan manusia dalam setiap perkara yang kami lakukan.
"Kempen Tahun AInnovation digerakkan berasaskan solusi pintar AI sedia ada di KPJ Healthcare yang telah digunakan di seluruh rangkaian hospitalnya.
"Ini termasuk Pengimbasan Retina AI untuk pengesanan awal retinopati diabetik dan Pengimejan AI bagi pemeriksaan kanser paru-paru.
"Kumpulan KPJ juga turut bekerjasama dengan rakan niaga yang lain untuk mengembangkan penyelesaian teleperubatan berdaya 5G, diagnostik berkuasa AI dan penyelesaian pengimejan holografik.
"Universiti KPJ Healthcare (KPJU) juga akan menawarkan kursus AI dan Sains Data sebagai salah satu programnya," katanya.
Selain penggunaan AI, KPJ Healthcare turut melabur dalam inovasi tempatan melalui Cabaran K.R.A.F.T 2025 iaitu sebuah inisiatif di bawah Tahun AInnovation yang memfokuskan pada mengubah idea inovatif menjadi penyelesaian penjagaan kesihatan dunia sebenar.
Chin berkata cabaran K.R.A.F.T 2025 menyasar untuk mencari rumusan berkesan yang memberi impak tinggi dalam penyampaian penjagaan kesihatan.
"Kami bukan sekadar menggalakkan inovasi tetapi kami mahukan idea yang boleh membawa kepada perubahan ketara,” katanya.

Selain itu, cabaran K.R.A.F.T ini juga bertujuan untuk meningkatkan kemajuan dalam AI dan kesihatan digital, kecemerlangan klinikal, kecekapan operasi, kemampanan dan bioteknologi di samping menyediakan peluang untuk bimbingan dan pengkomersilan untuk inovator penjagaan kesihatan.
Pemenang akan menerima bimbingan, sokongan pembangunan perniagaan dan akses kepada Pusat Penyelidikan & Inovasi KPJ (KPJRIC) di mana projek terpilih akan dipandu untuk pelaksanaan dunia sebenar di seluruh hospital KPJ.
Pertandingan ini terbuka kepada kakitangan KPJ, profesional penjagaan kesihatan, pelajar universiti, penyelidik dan syarikat rintisan di Malaysia.
Penyerahan kertas kerja akan diterima dari 1 Mac sehingga 30 September 2025, diikuti dengan sesi pembentangan pada bulan Oktober dan pengumuman finalis pada bulan November. Acara kemuncak akan berlangsung di MIH Megatrends 2025 pada 25 November 2025. - DagangNews.com








