Kos sara hidup naik akibat diesel mahal dikhuatiri perlahankan pembelian kenderaan – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos sara hidup naik akibat diesel mahal dikhuatiri perlahankan pembelian kenderaan – RHB Research

Gambar hiasan - Foto AFP
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Mei - Kenaikan harga minyak mentah global susulan kesan ketegangan geopolitik berpanjangan dijangka memberi tekanan besar kepada kos sara hidup pengguna, menurut RHB Research. 


Firma penyelidikan berkenaan menjangkakan situasi tersebut dikhuatiri memperlahankan pembelian kenderaan baharu dan melemahkan momentum jualan sektor automotif tempatan sepanjang tahun ini.


Katanya, harga minyak tinggi bukan sahaja mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat, malahan ia menyebabkan pengguna lebih berhati-hati terhadap perbelanjaan besar termasuk pembelian kereta.


"Sehubungan itu, kami masih mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor berkenaan, dengan Sime Darby Berhad dipilih sebagai saham pilihan utama," jelas RHB Research dalam analisis.


Tambahnya, kadar kelulusan pinjaman kenderaan pada Mac 2026 merosot kepada 54% berbanding 57% setahun lalu, menunjukkan institusi kewangan kini lebih berhati-hati dalam meluluskan pembiayaan.


Ujarnya, walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) masih mencatatkan jualan lebih tinggi, faktor harga minyak yang mahal dikhuatiri menjejaskan pembelian baharu atau penggantian kenderaan lama.


Dengan harga minyak mentah dijangka kekal tinggi dan sukar kembali ke paras sebelum konflik, RHB Research percaya keadaan ini boleh memberi kesan lebih luas kepada pendapatan boleh guna pengguna.

 

automotif_DagangNews


"Kami turut menyemak turun unjuran TIV bagi tahun ini hanya kepada 780,000 unit daripada 805,000 unit sebelum ini, sekali gus membayangkan penyusutan kira-kira 5% tahun ke tahun," katanya lagi.


Menurutnya, kebimbangan terhadap kemampanan subsidi RON95 juga meningkat apabila nilai subsidi bulanan dianggarkan naik kepada RM4 bilion berbanding sekitar RM700 juta sebelum konflik tercetus.


RHB Research bagaimanapun menjangkakan TIV suku kedua 2026 pulih berbanding suku pertama, susulan peningkatan pengeluaran selepas tempoh cuti panjang Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.


Dalam pada itu, firma tersebut berkata sentimen pelabur terhadap sektor automotif mula menunjukkan pemulihan apabila beberapa saham di bawah liputannya mencatat kenaikan antara 3% hingga 15%.


"Situasi berkenaan dicatatkan dalam tempoh tujuh minggu lalu susulan sentimen 'risk-on' selepas perkembangan gencatan senjata konflik di Timur Tengah memberi perkembangan positif," jelasnya.


Penilaian semasa sektor itu namun dilihat seimbang menyebabkan RHB Research menurunkan penarafan Bermaz Auto Berhad dan MBM Resources Berhad berikutan jangkaan jualan Perodua yang lebih lemah.


Bagi Sime Darby Berhad, firma itu kekal optimis terhadap prospeknya berikutan potensi pemulihan segmen perindustrian, sumbangan BMW Malaysia dan pertumbuhan rancak sektor pusat data tempatan.


Ia turut mengingatkan risiko utama sektor automotf masih tertumpu kepada kelembapan tempahan baharu, persaingan harga yang sengit serta potensi tekanan terhadap harga saham. - DagangNews.com