Kos lori sampah terlalu tinggi tidak sesuai urus sisa pepejal di kawasan luar bandar - GSR Environmental | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos lori sampah terlalu tinggi tidak sesuai urus sisa pepejal di kawasan luar bandar - GSR Environmental

Gambar hiasan - Foto BERNAMA
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 Mei — Ketika kerajaan giat membangunkan loji sisa-kepada-tenaga (WTE) berskala besar di kawasan bandar, komuniti luar bandar masih lagi berdepan masalah pengurusan sisa pepejal.


Pengarah Teknikal GSR Environmental Consultant Sdn Bhd, Wan Azizul Faiz Zulkifli berkata, jurang ketara pendekatan pengurusan sisa pepejal ini terus wujud dengan kos logistik lori sampah semakin tinggi.


Kawasan bandar menikmati kemudahan teknologi moden, manakala kawasan luar bandar terus bergantung kepada pengurusan tapak pelupusan yang tidak mampan dan sistem pengangkutan sampah jarak jauh.


"Sebahagian besar pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan luar bandar terpaksa peruntukkan 60% daripada bajet tahunan mereka hanya untuk kos pengangkutan sisa pepejal," jelasnya dalam kenyataan.


Wan Azizul menambah, kos itu meliputi penggunaan diesel, penyelenggaraan lori dan pembayaran gaji pekerja bagi menghantar sampah ke tapak atau loji rawatan terletak jauh dari kawasan penempatan.


Situasi ini jelasnya, mewujudkan ‘ilusi karbon’ apabila usaha pengurusan sisa secara lestari menyebabkan pelepasan karbon yang lebih tinggi akibat penggunaan lori berat terpaksa bergerak merentas daerah.

 

sampah_DagangNews


Katanya, model loji WTE berskala besar yang memerlukan bekalan sampah mencecah 1,000 tan sehari juga kurang sesuai untuk kawasan luar bandar kerana jumlah sisa lebih kecil dan tidak ekonomik.


"Sehubungan itu ujar Wan Azizul, kerajaan disaran memberi fokus kepada pembangunan sistem rawatan sisa pepejal berskala kecil dan modular bagi mewujudkan 'autonomi sisa' di peringkat daerah.


Menurutnya, teknologi pembakaran mikro moden kini mampu memproses kira-kira 10 tan sampah sehari dengan tapak yang kecil selain sesuai ditempatkan di kawasan pedalaman, pulau dan tanah tinggi.


Tambah beliau, pendekatan tersebut mampu mengurangkan kebergantungan kepada sistem pengangkutan sampah jarak jauh selain membantu PBT bagi menjimatkan jutaan ringgit kos operasi setiap tahun.


Unit modular moden juga kata Wan Azizul, sebenarnya lebih mesra alam kerana mematuhi piawaian pelepasan karbon antarabangsa serta tidak menghasilkan bau dan asap hitam seperti insinerator lama.


"Kerajaan wajar menyediakan peruntukan pembangunan fasiliti rawatan sisa modular dalam memastikan komuniti luar bandar tidak terus ketinggalan dalam agenda pembangunan lestari negara," tegasnya.


Kesejahteraan masyarakat luar bandar ujarnya, perlu bergerak seiring kemajuan dinikmati kawasan bandar khususnya dalam aspek pengurusan alam sekitar dan infrastruktur asas. - DagangNews.com