KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kontraktor Malaysia berdepan tekanan kos yang semakin ketara apabila harga diesel industri melonjak 44% dalam tempoh lima bulan, manakala bitumen meningkat 42%, sekali gus menekan margin projek yang kebanyakannya dilaksanakan menerusi kontrak harga tetap.
Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) dan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) dalam kenyataan bersama berkata, peningkatan tertumpu dan berterusan bagi beberapa input pembinaan utama menunjukkan purata statistik secara menyeluruh tidak menggambarkan sepenuhnya realiti kos operasi yang dihadapi kontraktor di tapak.
Menurut kedua-dua persatuan itu, harga diesel industri meningkat kepada RM4.26 seliter pada Julai 2026 daripada RM2.95 seliter pada Februari, bersamaan kenaikan 44%.
Dalam tempoh sama, harga bitumen melonjak 42% kepada RM3,025 satu tan daripada RM2,125 satu tan.
Harga konkrit siap bancuh Gred 30N pula meningkat 15% kepada RM402 bagi setiap meter padu pada Julai daripada RM350 pada Februari 2026.
Harga simen Portland biasa (OPC) bagi beg 50 kilogram meningkat 6.7% kepada RM24 pada Julai 2026 daripada RM22.50 pada Jun 2025.
MBAM dan PKBM mengeluarkan kenyataan berkenaan susulan laporan media mengenai komen Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berhubung kesan keseluruhan kos terhadap sektor pembinaan.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden MBAM, Kenneth Liew Kiam Woon dan Presiden PKBM, Dato' Sri Dr. Azman Yusoff.
Kos logistik meningkat sehingga 40%
Selain bahan binaan, MBAM dan PKBM berkata kos logistik dan pengangkutan meningkat antara 15% hingga 40% berikutan penguatkuasaan lebih ketat berkaitan kapasiti muatan pengangkutan sejak Oktober 2025.
Tekanan kos turut datang daripada pelarasan gaji minimum kepada RM1,700, perubahan struktur caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja bukan warganegara serta harga tembaga yang mencecah paras tertinggi, menurut kenyataan bersama itu.
MBAM dan PKBM berkata kebanyakan kontraktor beroperasi di bawah kontrak harga tetap yang dianugerahkan sebelum pelarasan harga berkenaan.
Justeru, kenaikan kos bahan yang tertumpu itu memberi kesan secara langsung terhadap margin pelaksanaan projek, khususnya bagi kontraktor kecil dan sederhana.
Data industri perlu cerminkan realiti di tapak
MBAM dan PKBM berkata petunjuk makro dan data makroekonomi memainkan peranan penting dalam perancangan dasar, namun purata statistik yang luas tidak sepenuhnya menggambarkan realiti kos operasi yang dihadapi kontraktor di lapangan.
Kedua-dua persatuan itu mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut mereka, perkongsian data industri pada peringkat mikro dan pemerhatian di lapangan bersama data statistik nasional boleh membantu mewujudkan kerangka yang lebih seimbang dan menyeluruh bagi menyokong kemampanan industri.
MBAM dan PKBM turut menegaskan komitmen mereka sebagai rakan kerajaan dalam menjayakan matlamat pembangunan infrastruktur Malaysia, termasuk projek utama negara dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Kedua-dua persatuan itu berkata mereka berharap penglibatan konstruktif dengan Kementerian Kerja Raya serta agensi kerajaan berkaitan dapat diteruskan. - DagangNews.com








