Kontrak diperoleh MN Holdings cecah RM1.6 bilion berpeluang jana hasil kukuh hingga FY28 – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak diperoleh MN Holdings cecah RM1.6 bilion berpeluang jana hasil kukuh hingga FY28 – Maybank IB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 3 SeptMN Holdings Berhad mencatat kontrak sebanyak RM1.6 bilion setakat Ogos 2026, yang memberikan asas hasil kukuh sehingga tahun kewangan 2028 (FY28), menurut Maybank IB.

 

Kedudukan itu namun memerlukan kumpulan itu mengekalkan momentum meraih banyak projek baharu dalam situasi persaingan yang semakin sengit bagi infrastruktur grid tenaga, pusat data (DC) dan solar.

 

Tambah firma berkenaan, jumlah buku tempahan terkini itu memberikan keterlihatan pendapatan teguh, dengan segmen DC menjana 56%, projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) (31%) dan lain-lain (14%).

 

"Kami menjangkakan prestasi MN Holdings bertambah baik pada 1HFY27, disokong penyempurnaan tiga projek yang sedang berjalan dan dijangka siap menjelang Disember 2026," jelas nota Maybank IB.

 

Hasil kesemua projek DC yang dilaksanakan ketika ini ujarnya, bakal diiktiraf sepenuhnya dalam FY27, manakala projek berkaitan TNB dijangka menyumbang pendapatan sepanjang FY27 hingga FY28.

 

Situasi berkenaan sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap keterlihatan pendapatan kumpulan dalam tempoh terdekat dengan buku tender naik 38% suku ke suku (QoQ) kepada rekod RM5 bilion.

 

Perkembangan positif itu kata Maybank IB, mencerminkan peluang pengembangan MN Holdings semakin besar, didorong pertumbuhan peluang tender dalam segmen DC sebanyak 186%, solar 84% dan TNB 16%.

 

MN Holdings_DagangNews2026

 

"Dalam segmen , kumpulan ini ada RM500 juta tender yang sedang berjalan dengan 'Customer A', dan beberapa tender dijangka dimuktamadkan pada suku keempat tahun kalendar 2026 (4QCY26)," tambahnya.

 

Bagi infrastruktur TNB pula, syarikat itu sedang membida projek bernilai RM1.5 bilion, yang ada potensi meningkatkan keupayaan kumpulan daripada rekod pengalaman semasa dalam kontrak terdahulu.

 

Maybank IB turut melihat peluang pertumbuhan dalam sektor solar, dengan tenderbook MN Holdings kini berjumlah RM404 juta, sebahagian besarnya kerja untuk pelbagai projek solar berskala besar (LSS).

 

Pada masa sama, ia membina keupayaan bagi menyertai banyak projek LSS, termasuk sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta berpotensi menjadi pemilik aset.

 

"Dengan sokongan buku tempahan RM1.6 bilion dan buku tender RM5 bilion, kami mengekalkan unjuran kewangan serta melihat prospek pertumbuhan kumpulan kekal positif," kata firma penyelidikan itu.

 

Justeru, Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham MN Holdings dan harga sasaran (TP) RM4.19 sesaham, berdasarkan penilaian 21 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27. - DagangNews.com