Kontrak bekalan ubat kerajaan terus bantu stabilkan pendapatan Pharmaniaga pada 1QFY26 - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak bekalan ubat kerajaan terus bantu stabilkan pendapatan Pharmaniaga pada 1QFY26 - MBSB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Mei – Pharmaniaga Berhad terus menunjukkan prestasi yang stabil pada suku pertama FY2026, dengan pertumbuhan yang banyak disokong oleh permintaan berterusan daripada sektor kesihatan awam, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata sebahagian besar pendapatan syarikat masih bergantung kepada kontrak kerajaan, khususnya melalui bekalan ubat kepada hospital-hospital kerajaan di bawah Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL).

 

“Peranan Pharmaniaga sebagai pembekal utama kepada sistem kesihatan awam menjadikan aliran pendapatannya lebih stabil kerana permintaan ubat daripada sektor kerajaan sentiasa berterusan bagi memastikan stok ubat negara mencukupi.

 

“Pada 1QFY26, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM1.18 bilion, meningkat 11.7% berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh peningkatan pesanan daripada sektor awam serta pengembangan beberapa segmen perniagaan,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) turut meningkat kepada RM31.5 juta, dengan PATAMI teras naik sekitar 10.9% kepada RM30.2 juta, mencerminkan prestasi operasi yang lebih baik.

 

Segmen pengilangan menjadi penyumbang utama pertumbuhan apabila mencatat peningkatan hasil sebanyak 28.6%, disokong oleh permintaan kukuh terhadap produk buatan sendiri syarikat. Lebih memberangsangkan, keuntungan segmen ini melonjak hampir 99%, menunjukkan peningkatan kecekapan dan penggunaan kapasiti pengeluaran.

 

Bagaimanapun, segmen logistik dan pengedaran mencatat situasi bercampur apabila hasil meningkat tetapi keuntungan merosot dengan ketara kepada RM0.5 juta, berbanding tempoh sebelumnya.

 

Penurunan ini disebabkan oleh peningkatan kos operasi termasuk sewaan gudang selepas pengembangan rangkaian produk APPL.

 

Namun, MBSB Research menjelaskan segmen ini masih kekal penting kerana ia menyokong bekalan ubat nasional secara berterusan melalui kontrak konsesi kerajaan, terutama dalam memastikan keperluan hospital awam tidak terganggu.

 

Sementara itu, operasi di Indonesia mencatat penurunan hasil dan keuntungan masing-masing 9.9% dan 40.6%, yang dipengaruhi oleh kesan turun naik kadar pertukaran mata wang.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pharmaniaga catat untung bersih RM32.2 juta pada 1QFY26, sahkan bekalan ubat kekal stabil dan mencukupi

 

Dari sudut prospek, MBSB Research berkata Pharmaniaga dilihat berada pada landasan pertumbuhan jangka panjang yang lebih kukuh, dipacu oleh pengembangan dalam produk bernilai tinggi. 

 

“Antara pemacu utama ialah pelancaran insulin manusia yang dijangka dikomersialkan pada pertengahan 2026.

 

“Selain itu, syarikat turut memperoleh kelulusan awal bagi vaksin Pneumococcal Conjugate Vaccine (PCV), yang membuka peluang kepada pengukuhan segmen biofarmaseutikal serta peningkatan margin pada masa hadapan,” katanya.

 

Pharmaniaga juga terus memperluaskan portfolio produknya dalam pasaran swasta dengan pelancaran ubat baharu seperti Apixaban dan Dutasteride, serta perancangan memperkenalkan Gemigliptin bagi segmen diabetes dan metabolik.

 

MBSB Research mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham Pharmaniaga dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.36, berdasarkan prospek pemulihan berterusan serta potensi pertumbuhan daripada segmen pengilangan dan produk bernilai tinggi.

 

Berdasarkan harga semasa RM0.24, saham ini menawarkan potensi kenaikan sekitar 50%, selain jangkaan pulangan dividen sekitar 4.4% pada 2026 yang dijangka meningkat melebihi 7% menjelang 2028.

 

Unjuran kewangan juga menunjukkan trend peningkatan berterusan dengan EPS dan PATAMI yang terus bertambah setiap tahun, mencerminkan pemulihan prestasi syarikat secara berperingkat.

 

Walaupun terdapat risiko seperti kebergantungan kepada kontrak kerajaan, tekanan margin dalam segmen logistik serta pendedahan kepada risiko pertukaran mata wang di Indonesia, prospek keseluruhan kekal positif. - DagangNews.com