KUALA LUMPUR 10 Mac — Ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang melonjakkan harga minyak mentah melebihi AS$100 (RM393) setong berpotensi memberi limpahan positif sektor perladangan Malaysia.
Menurut TA Securities, keadaan tersebut menyokong kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) dalam yang tempoh terdekat, disebabkan konflik itu meningkatkan risiko gangguan bekalan tenaga global.
Kata firma berkenaan, situasi itu penutupan laluan perkapalan di Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 juta tong minyak sehari, yang bersamaan satu perlima penggunaan petroleum global.
"Walaupun sektor tenaga dilihat sebagai penerima manfaat langsung daripada lonjakan harga minyak, kesan limpahan kepada sektor perladangan masih belum dinilai sepenuhnya oleh pasaran," katanya.
Secara sejarah jelas TA Securities, harga minyak mentah yang tinggi lazimnya menyokong harga MSM melalui peningkatan biodiesel, kerana lonjakan harga diesel menjadikan biodiesel lebih kompetitif.
Justeru, firma itu menaik taraf sektor perladangan kepada 'overweight' susulan prospek permintaan biodiesel yang akan kukuh serta peningkatan daya saing harga MSM berbanding minyak sayuran lain.
Jelasnya, kenaikan harga minyak mentah boleh meningkatkan biodiesel, khususnya di Indonesia yang melaksanakan mandat biodiesel B40, dan menyerap sebahagian bekalan MSM domestik negara tersebut.

"Jika ditingkatkan kepada B50 atau B60, permintaan minyak sawit dijangka naik ketara, sekali gus berpotensi mengetatkan bekalan global dan menyokong pula kenaikan harga MSM," kata TA Securities.
Selain itu tambah firma penyelidikan tersebut dalam notanya, ketegangan geopolitik meningkatkan kos penghantaran global akibat premium insurans risiko perang dan masalah kekangan kapasiti kapal.
Keadaan ini boleh meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia dan Indonesia berbanding minyak kacang soya dari Amerika Syarikat (AS) yang memerlukan jarak penghantaran jauh ke pasaran Asia.
“Laluan penghantaran minyak sawit ke pasaran utama seperti India dan China adalah lebih pendek, dengan peningkatan kos logistik global boleh memberi kelebihan kepada minyak sawit,” katanya.
India yang merupakan pengimport terbesar minyak sawit dunia ketika ini dianggarkan hanya memiliki inventori minyak masak sekitar 1.75 juta tan, iaitu kurang satu bulan bagi penggunaan domestik.
TA Securities menambah, inventori yang rendah itu berpotensi mencetuskan aktiviti pengisian semula stok dalam tempoh terdekat, sekali gus meningkatkan lagi permintaan import minyak sawit global.
Pada masa sama, perbezaan harga antara minyak kacang soya dan minyak sawit semakin melebar dengan premium minyak kacang soya kini AS$350 (RM1,377) satu tan, lebih tinggi daripada purata sejarah.
"Jurang harga tersebut boleh menggalakkan pengimport untuk beralih kepada minyak sawit sebagai alternatif lebih murah, terutamanya dalam kalangan negara pengguna yang sensitif harga," katanya.

Bagaimanapun jelas TA Securities, pasaran saham sektor itu di Indeks Perladangan FTSE Bursa Malaysia masih bergerak mendatar sejak konflik di rantau Timur Tengah memuncak awal Mac lalu.
Situasi itu, menunjukkan pelabur belum sepenuhnya menilai potensi kenaikan sektor tersebut, namun analisis sensitiviti firma berkenaan menunjukkan prospek positif harga MSM dalam masa terdekat.
Setiap kenaikan RM100 satu tan harga komoditi tersebut katanya, berpotensi meningkatkan pendapatan dalam kalangan syarikat sektor perladangan sekitar 3%, sekiranya semua faktor lain kekal sama.
"Dari segi operasi, pengeluar utama seperti SD Guthrie Berhad, IOI Corporation Berhad dan Kuala Lumpur Kepong Berhad dilihat mempunyai perlindungan yang lebih mencukupi," tambah TA Securities.
Perkembangan berkenaan jelasnya, termasuk isu kenaikan kos baja dalam tempoh yang terdekat kerana sebahagian kontrak bekalan sudah dikunci lebih awal sebelum harga bahan tersebut meningkat tinggi.
Seiring prospek sektor yang semakin baik, firma itu menaik taraf beberapa saham perladangan kepada 'beli', antaranya SD Guthrie Berhad, IOI Corporation Berhad dan Kim Loong Resources Berhad.
Pada masa yang sama, TA Securities turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap Kuala Lumpur Kepong Berhad, TSH Resources Berhad dan United Malacca Berhad berdasarkan potensi jangka sederhana.
"Kami namun mengingatkan risiko sektor ini seperti kelembapan ekonomi global boleh menjejaskan permintaan, selain penurunan harga minyak mentah jika ketegangan geopolitik reda," katanya. - DagangNews.com








