KNM tolak permintaan adakan EGM atas alasan peraturan, MAA tetap mahu teruskan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KNM tolak permintaan adakan EGM atas alasan peraturan, MAA tetap mahu teruskan

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 9 Okt - KNM Group Bhd telah menolak permintaan daripada pemegang saham utamanya, MAA Group Bhd, untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi meluluskan penjualan keseluruhan pegangan dalam Deutsche KNM GmbH (DKNM) bernilai €270 juta (RM1.33 bilion) atas alasan kebimbangan terhadap pematuhan peraturan.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, lembaga pengarah KNM berkata pihaknya memutuskan tidak dapat memenuhi garis masa bagi pelaksanaan EGM tersebut kerana terikat dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa, selepas pertimbangan teliti dibuat.

 

Lembaga itu menambah, memandangkan KNM kini berstatus Nota Amalan 17 (PN17), syarikat perlu mematuhi semua peraturan berkenaan secara ketat bagi mengelakkan sebarang risiko tambahan terhadap status penyenaraiannya.

 

Bagaimanapun, MAA memaklumkan kepada KNM pada 8 Oktober, bahawa ia akan meneruskan langkah memanggil EGM di bawah Seksyen 313 Akta Syarikat 2016, dan telah mengeluarkan notis kepada para pemegang saham untuk mengundi berhubung cadangan penjualan DKNM tersebut.

 

KNM kini berdepan risiko dinyahsenaraikan dari Bursa Malaysia selepas pelan keluar PN17 syarikat itu – yang turut melibatkan penjualan DKNM – ditolak oleh Bursa Malaysia.

 

Bursa dilaporkan tidak yakin pelan tersebut mampu memulihkan kedudukan kewangan KNM, walaupun syarikat itu telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

 

DKNM merupakan aset paling bernilai milik KNM. Penjualannya dijangka dapat membantu syarikat membayar hutang, namun akan menyebabkan KNM hanya bergantung kepada operasi dalam negara yang mencatat kerugian sejak tahun 2024.

 

KNM telah diletakkan di bawah status PN17 sejak Oktober 2022 berikutan kedudukan kewangan yang tenat. - DagangNews.com