KMI Healthcare rancang hospital baharu RM142.8 juta di Chukai, Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KMI Healthcare rancang hospital baharu RM142.8 juta di Chukai, Terengganu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Mei – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare), anak syarikat TDM Berhad merancang membangunkan hospital baharu bernilai anggaran RM142.8 juta di Chukai dekat Kemaman, Terengganu menerusi projek KMI Chukai Medical Centre.

 

Langkah pembangunan itu dimulakan menerusi pemeteraian surat niat (LOI) antara KMI Healthcare dan GPQ Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc yang bertindak sebagai pemaju bagi projek berkenaan.

 

Majlis penyerahan LOI tersebut diadakan di ibu pejabat KMI Healthcare di Kuala Lumpur, melibatkan Datuk Wan Adnan Wan Derahman selaku Pengarah GPQ Sdn Bhd, manakala KMI Healthcare diwakili oleh Datuk Dr. Alias  Razak, Pengerusi KMI Healthcare.

 

KMI Chukai Medical Centre dijangka menjadi hospital kedua di Terengganu di bawah rangkaian KMI Healthcare selepas KMI Kuala Terengganu Medical Centre yang kini beroperasi sebagai antara hospital swasta utama di negeri tersebut.

 

Hospital sedia ada itu menawarkan perkhidmatan termasuk kardiologi dan ortopedik serta terletak di lokasi strategik berhampiran Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

 

Menurut KMI Healthcare, projek baharu ini merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan jangka panjang kumpulan bagi memperkukuh akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, khususnya di Pantai Timur.

 

t

 

t

 

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali berkata Kemaman dikenal pasti sebagai lokasi strategik dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan perubatan pakar yang moden dan komprehensif.

 

Beliau berkata pembangunan hospital itu bukan sahaja akan meningkatkan akses rawatan kepada masyarakat setempat, malah turut memberi impak ekonomi melalui penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan ekosistem sokongan kesihatan.

 

Katanya lagi, LOI tersebut menyatakan hasrat KMI Healthcare untuk melantik GPQ Sdn Bhd sebagai pemaju utama projek berkenaan, yang merangkumi pembangunan infrastruktur hospital, kemudahan perubatan dan fasiliti sokongan operasi.

 

Apabila siap kelak, hospital baharu itu dijangka menambah kapasiti perkhidmatan KMI Healthcare yang kini mengendalikan lima hospital iaitu KMI Kelana Jaya Medical Centre, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kuala Terengganu Medical Centre, KMI Taman Desa Medical Centre dan KMI Tawau Medical Centre.

 

KMI Healthcare menyatakan komitmennya untuk terus menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi dan mampu milik, sejajar dengan usaha memperluaskan akses penjagaan kesihatan swasta di Malaysia. - DagangNews.com