KUALA LUMPUR 2 Sept — Tahap hutang Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) yang semakin tinggi menjadi antara cabaran utama kumpulan ketika ini, menurut analisis Public Investment Bank (PublicInvest).
Ujar firma penyelidikan tersebut, penggearan bersih kumpulan berkenaan meningkat ketara kepada kira-kira 71%, manakala kadar penggearan kasar pula mencecah sebanyak 90% bagi tempoh 3QFY26.
Bagaimanapun, ia masih mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap saham syarikat tersebut dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM23.86 sesaham yang berasaskan kepada unjuran kaedah jumlah bahagian (SOP).
"Peningkatan hutang itu sebahagiannya daripada kesan rosot nilai bukan tunai RM1.6 bilion ke atas pelaburan KLK dalam Synthomer PLC, dan mengurangkan ekuiti pemegang saham," kata PublicInvest.
Walaupun ada kesan besar kepada keputusan 3QFY26, firma itu menegaskan operasi asas syarikat kekal stabil, malah bahagian pembuatan kembali mencatat keuntungan, dan perladangan masih berdaya tahan.
Menurutnya, pengiktirafan rosot nilai penuh terhadap Synthomer turut dilihat mengurangkan risiko tekanan keuntungan yang lebih besar pada masa depan daripada nilai bawaan pelaburan tersebut.
Prospek jangka pendek KLK namun jelas PublicInvest, terus berdepan beberapa cabaran yang boleh mengehadkan pertumbuhan, antaranya risiko fenomena cuaca El Niño terhadap tanamannya di Indonesia.

"Meskipun pengurusan terus memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran dan hasil buah tandan segar (FFB), keadaan cuaca boleh menjejaskan produktiviti ladang dalam FY27," kata firma tersebut.
Jelasnya, dalam usaha perkukuh kedudukan kewangan, pengurusan kumpulan itu kini memberi keutamaan kepada proses pengurangan hutang, dengan sasaran menurunkan penggearam kasar kepada sekitar 50%.
Justeru tambah PublicInvest, prestasi FY27 dijangka menjadi tahun yang lebih sederhana apabila KLK lebih memberi tumpuan kepada pembayaran balik hutang dan disiplin perbelanjaan modal (capex).
Kumpulan mengunjurkan capex sekitar RM1 bilion bagi FY26, sebahagian besarnya aktiviti penanaman semula, yang kekal tinggi dan aktiviti itu dijangka dipertingkatkan dengan agresif mulai FY28.
"Usaha ini penting untuk meningkatkan hasil dan produktiviti ladang dalam jangka panjang, tetapi berpotensi mengurangkan kawasan matang dan pengeluaran sementara sepanjang kitaran," ujarnya lagi.
Sementara itu kata PublicInvest, segmen hartanah kekal pemangkin pertumbuhan KLK, namun sumbangan hasil bermakna hanya akan dicapai selepas 2029, sekali gus menjadikannya bukan pemacu keuntungan.
Sehubungan itu, firma berkenaan turut mengambil kira kerugian yang berterusan daripada perniagaan penapisan, tahap hutang tinggi dan sumbangan hartanah masih sederhana dalam menilai prospeknya.
Faktor-faktor tersebut dijangka mengehadkan potensi peningkatan prestasi kumpulan berkenaan dalam jangka pendek walaupun asas operasi adalah kekal kukuh. - DagangNews.com








