KLK Land lancar hab industri RM3.5 bilion di Tanjong Malim, BYD jadi pelabur utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLK Land lancar hab industri RM3.5 bilion di Tanjong Malim, BYD jadi pelabur utama

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Sept - KLK Land, anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) melancarkan KLK TechPark sebuah hab industri bersepadu seluas 607 hektar di Tanjong Malim, dengan gergasi automotif China, BYD disahkan sebagai pelabur utama bagi Fasa 1.

 

Terletak bersebelahan Lembah Teknologi Automotif Tinggi (AHTV), KLK TechPark merangkumi 1,300 ekar untuk pembangunan industri dan 80.9 hektar untuk sokongan kediaman.

 

"Ia akan dibangunkan secara berfasa dari 2025 hingga 2035. Projek ini dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.5 bilion dalam tempoh sepuluh tahun akan datang," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

 

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang. Turut hadir Exco Industri Perak, Loh Sze Yee dan Pengerusi Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian.

 

klk bydd

 

Fasa pertama akan menempatkan kilang seluas 150 ekar milik BYD, dengan kerja-kerja infrastruktur dijangka siap menjelang akhir 2026.

 

Fasa kedua yang disasarkan untuk dilancar menjelang akhir 2025 akan merangkumi Taman Vendor seluas 80.9 hektar yang ditujukan kepada syarikat automotif dan pemain industri pembuatan.

 

KLK TechPark akan menawarkan penyelesaian bina-ikut-keperluan (build-to-suit), lot industri dan kilang siap bina, dengan sokongan infrastruktur utama dan akses terus ke Lebuhraya Utara-Selatan, iaitu hanya beberapa minit dari pekan Tanjong Malim dan plaza tol Behrang.

 

Menurut Saarani, projek ini dijangka menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mewujudkan ribuan peluang pekerjaan serta menyokong pembangunan ekosistem rantaian bekalan berteknologi tinggi.

 

“Bagi Perak, KLK TechPark menyokong aspirasi AHTV untuk menjadikan Tanjong Malim sebagai hab global bagi automotif dan teknologi canggih, berasaskan kenderaan tenaga baharu.

 

"Ia disokong oleh ekosistem lengkap merangkumi pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R\&D), rantaian bekalan serta bakat tempatan,” katanya.

 

Beliau menambah, KLK TechPark bersama pelaburan BYD merupakan langkah awal dalam menjayakan visi ini, serta mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Tanjong Malim dan negeri Perak.

 

Sementara itu Oi Hian berkata, KLK TechPark selari dengan aspirasi pembangunan jangka panjang dan agenda perindustrian negeri Perak.

 

“KLK TechPark dibangunkan sebagai platform untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan perindustrian negeri.

 

“Dengan sokongan kerajaan negeri dan peranan BYD sebagai pelabur utama, kami percaya projek ini mampu membuka peluang kepada perniagaan dan komuniti setempat, sambil membina ekosistem yang mampan dan berdaya saing dalam jangka masa panjang,” katanya. - DagangNews.com