KJTS Group, iHandal Holdings lancar usaha sama rumusan tenaga guna teknologi pemanasan dan penyejukan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KJTS Group, iHandal Holdings lancar usaha sama rumusan tenaga guna teknologi pemanasan dan penyejukan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Feb - KJTS Group Berhad menandatangani perjanjian usaha sama dengan iHandal Holdings Sdn Bhd melalui anak syarikatnya, KJ Technical Services Sdn Bhd (KJTS SB), untuk menawarkan rumusan yang mengoptimumkan penggunaan tenaga melalui gabungan teknologi pemanasan dan penyejukan.

 

Usaha sama itu akan menubuhkan entiti baharu dikenali sebagai KJTS iHandal Sdn Bhd, yang akan berfungsi sebagai pusat pembangunan perniagaan dan keuntungan utama.

 

Entiti tersebut akan memberi tumpuan untuk mendapatkan dan melaksanakan projek-projek yang selaras dengan objektif pertumbuhan strategik kumpulan KJTS dalam rumusan tenaga lestari.

 

Ia dijangka memperkukuhkan kedudukan KJTS dan anak-anak syarikatnya sebagai peneraju dalam pengurusan tenaga bersepadu.

 

Kerjasama berkenaan menggabungkan kepakaran kumpulan KJTS dalam pengurusan tenaga penyejukan dengan teknologi Heatfuse iHandal untuk pemulihan haba. 

 

Dengan memerangkap dan menggunakan semula haba yang dibazirkan, pendekatan itu meningkatkan kecekapan penyejukan, mengurangkan penggunaan tenaga keseluruhan dan menyediakan rumusan tenaga lestari kepada pelanggan dalam pelbagai industri.

 

Penubuhan usahasama tersebut mengukuhkan keupayaan kumpulan KJTS dalam pengurusan tenaga bersepadu. 

 

Dengan memanfaatkan kepakaran pemulihan haba iHandal bersama rumusan pengurusan tenaga penyejukan kumpulan KJTS, kerjasama berkenaan akan meningkatkan kecekapan tenaga, menurunkan kos operasi dan menyokong matlamat kelestarian pelanggan.

 

Proses pemulihan haba lanjutan dari iHandal seterusnya meningkatkan kecekapan sistem penyejukan dengan mengurangkan penggunaan tenaga keseluruhan dan mengoptimumkan prestasi. 

 

Kerjasama semula jadi itu memastikan penggunaan sumber yang lebih baik, memaksimumkan penjimatan tenaga sambil menurunkan kos operasi untuk perniagaan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan KJTS Berhad, Lee Kok Choon berkata, melalui KJTS iHandal, pihaknya menetapkan piawaian baharu industri dalam rumusan pemanasan dan penyejukan, memacu masa depan pengurusan tenaga lestari. 

 

"Matlamat kami adalah untuk membantu perniagaan mengoptimumkan penggunaan tenaga mereka sambil mengurangkan kos dan impak alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan.

 

KJTS iHandal akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem penjimatan tenaga untuk pelanggan komersial, industri dan institusi, dengan penekanan untuk pemaksimuman penjimatan tenaga dan kecekapan sumber. - DagangNews.com