KUALA LUMPUR 12 Jun – Kim Teck Cheong Consolidated Bhd (KTC), memperoleh tanah seluas 6.13 hektar di Kota Kinabalu bagi membangunkan hab pengedaran dan pergudangan serantau.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, tanah itu dibeli daripada KKIP Sdn Bhd, syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah pada harga RM39.59 juta.
Pembelian itu akan dibiayai melalui dana dalaman sebanyak 31% dan pinjaman bank 69%.
KTC berkata, pembangunan tanah itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi, kawalan rantaian bekalan, dan mengurangkan kebergantungan kepada logistik pihak ketiga.
"Ia juga dijangka mempercepatkan masa penghantaran dan menyokong pengembangan ke pasaran baharu di rantau ini.
"Lembaga Pengarah berpandangan urus niaga ini akan menyumbang positif kepada pendapatan masa depan dan nilai jangka panjang kumpulan," katanya dalam satu kenyataan.
Hab tersebut akan dibangunkan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), sebuah taman perindustrian bersepadu yang dilancarkan pada 1993 dan dibangunkan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah menerusi KKIP Sdn Bhd.
Pembangunan hab berkenaan dijangka siap dalam tempoh 48 bulan.
KTC menyatakan pembelian tanah itu merupakan sebahagian daripada perancangan lebih besar kumpulan untuk membangunkan salah satu pusat pengedaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) terbesar di rantau ini, dengan sasaran liputan logistik lebih meluas merangkumi Sabah, Sarawak, Brunei, dan Indonesia.








